Abramovich harap yang terbaik daripada pemilik baharu Chelsea

LONDON: Roman Abramovich berkata hari ini bahawa memiliki Chelsea adalah “penghormatan sepanjang hayat” selepas kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu berkata penjualan kelab berkenaan kepada konsortium diketuai Todd Boehly yang juga pemilik bersama pasukan besbol Los Angeles Dodgers akan dilengkapkan pada Isnin.

Chelsea diletakkan dalam pasaran pada awal Mac, beberapa hari sebelum Abramovich dikenakan sekatan oleh kerajaan British berikutan pencerobohan terhadap Ukraine.

“Saya gembira pencarian ini akhirnya mencapai penyelesaian yang berjaya,” kata Abramovich dalam satu kenyataan selepas kerajaan British dan EPL meluluskan pengambilalihan itu.



“Ia adalah penghormatan sepanjang hayat untuk menjadi sebahagian daripada kelab ini,” kata jutawan Russia berusia 55 tahun itu.

“Ketika saya menyerahkan Chelsea kepada penjaga baharunya, saya mengharapkan mereka akan berjaya, di dalam dan di luar padang.”

Kerajaan British menggambarkan Abramovich sebagai rakan rapat Presiden Russia, Vladimir Putin.

Abramovich juga menjadi sasaran sekatan daripada Kesatuan Eropah.



AFP

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button