Hatrik Razie belum cukup benam India

KUALA LUMPUR: Hatrik daripada Muhammad Razie Abd Rahim masih belum cukup untuk membantu skuad hoki lelaki negara mencatat kemenangan ke atas India apabila kedua-dua pasukan seri 3-3 dalam aksi kedua saingan ‘Super 4’ Piala Asia 2022 di Jakarta, Indonesia, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan pasukan bimbingan Arul Selvaraj setakat ini hanya mengumpul dua mata dalam dua perlawanan selepas turut seri 2-2 dengan Korea Selatan, semalam.

Dua keputusan seri itu menyukarkan peluang Malaysia menempatkan diri dalam kelompok dua teratas sekali gus layak beraksi di pentas final tampak sukar dengan skuad negara wajib menang aksi terakhir menentang Jepun, Selasa ini selain perlu menunggu keputusan dalam perlawanan lain.



Terdahulu, pada aksi yang penuh mendebarkan di Stadium Hoki Gelora Bung Karno itu, Razie meletakkan skuad negara mendahului 2-0 apabila dia menyempurnakan pukulan sudut penalti yang diperoleh pada minit ke-12 dan 21.

Bagaimanapun, India bangkit menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan Vishnukant Singh minit ke-32 dan gol padang yang dijaringkan Sowmarpet Vitalacharya Sunil minit ke-53.

Giliran India mendahului dalam perlawanan itu apabila Nilam Sanjeep Xess meledak gol ketiga pasukan berkenaan menerusi pukulan sudut penalti minit ke-55.

Namun, jaringan pendahuluan itu tidak bertahan lama apabila Razie melengkapkan hatriknya dengan menyudahkan pukulan sudut penalti seminit kemudian sekali gus membolehkan Malaysia menyamakan kedudukan dan kedudukan 3-3 kekal hingga tamat permainan.



BHOnline

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button