Krisis ayam masih kritikal

Kuala Lumpur: “Ini adalah krisis ayam paling kritikal pernah saya alami sepanjang 12 tahun berniaga,” luah peniaga pasar Chow Kit, Ammar Naim, 45.

Menurutnya, pada kebiasaan dia akan menempah 100 ayam daripada pembekal setiap hari dan jualannya akan habis pada jam 3 petang setiap hari.

“Kini saya hanya menerima 30 hingga 45 ayam sahaja setiap hari kerana pembekal juga mempunyai stok yang terhad.



“Seawal jam 9 pagi semua jualan ayam saya habis. Saya harap isu bekalan ayam ini dapat diselesaikan segera bagi memastikan perniagaan kami dan rakan lain dapat dibuka seperti biasa.

“Sebelum krisis ini terjadi, boleh dikatakan semua seksyen jualan ayam dibuka, tetapi sejak kebelakangan ini, cuma dalam lima hingga enam kedai sahaja masih bertahan walaupun stok sangat terhad,” katanya ketika ditemui hari ini.

Tinjauan Harian Metro mendapati hanya beberapa kedai menjual ayam dibuka di pasar Chow Kit malah semua bekalan sudah habis dijual seawal jam 9 pagi manakala pelanggan yang datang tertumpu di gerai jualan ikan dan daging.

Terdahulu Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid dilaporkan berkata isu kekurangan bekalan ayam di pasaran ketika ini akan diselesaikan Jun ini.



Menurutnya, jangkaan itu berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan pihaknya terhadap industri ternakan ayam, selain beberapa langkah intervensi segera yang dilaksanakan kerajaan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Sementara itu seorang lagi peniaga, Madi Sulaiman berkata, sejak berlakunya krisis bekalan ayam ini, dia hanya memperoleh 50 peratus atau kurang keuntungan daripada biasa.

“Keadaan ini menjadi semakin kritikal sejak beberapa hari lalu. Biasanya, kami menerima 120 ekor ayam, namun sejak kebelakangan ini, kami hanya menerima 45 ekor ayam sahaja dalam satu hari. Malah ada ayam pencen pun orang sanggup beli kerana terdesak.

“Saya kecewa kerana terkesan dengan krisis ini walaupun ada dakwaan mengatakan bekalan akan kembali stabil tidak lama lagi, namun keadaan masih sama dan tiada perubahan.



“Sedih apabila melihat rakan peniaga lain ada yang tidak dapat membuka kedai berikutan masalah ini,” katanya.

Pelanggan, Amnah Isa, 42, berkata dia terpaksa datang seawal 8 pagi untuk membeli ayam kerana bimbang tidak mendapat bekalan.

“Saya sudah pergi ke pasar lain di sekitar Petaling Jaya namun kebanyakannya sudah habis bekalan.

“Jualan ayam sangat berkurangan beberapa minggu ini, jadi saya terpaksa menggunakan alternatif lain dengan membeli ikan dan daging sebagai ganti,” katanya.



METRO

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button