Legenda takraw Rehan Mohamad Din meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Legenda sepak takraw negara Rehan Mohamad Din meninggal dunia di rumahnya di Bukit Tinggi, Johor malam tadi akibat sesak nafas dan jangkitan kuman dalam paru-parunya.

Rehan, 54, meninggalkan seorang balu, Noor Masita Amir dan enam anak (Noor Aliya Basirah, Mohd Syabil Hanif, Mohd Syafiq Haziq, Mohd Syafie Hazim, Mohd Syahir Hazmi dan Noor Afiqah Bazilah).

Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Air Tawar 3, hari ini.

Bekas apit kanan atau perejam Malaysia dari tahun 1987 hingga 1992 itu mengalami masalah jantung sejak lima tahun lalu.

Rehan membantu skuad negara menyapu bersih dua pingat emas regu berpasukan dan antara regu Sukan Asia itu, kedua-duanya dengan menewaskan Thailand 2-1 dan 2-0 di Gimnasium Fengtai, Beijing, China.

Dia bergandingan dengan tekong, Nordin Sabarudin dan apit kiri atau pengumpan, Abd Malek Samsudin dengan skuad sepak takraw menjadi penyumbang tunggal emas kontinjen negara pada temasya ke-11 berkenaan.

Rehan turut meraih dua pingat emas Sukan SEA Manila 1991 dan sebutir emas antara regu Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 serta membantu merampas Piala Raja Thailand 1988 (berpasukan) daripada musuh tradisi itu di Bangkok.

Dia dianggap Raja Libas 90-an Asia dan dunia, manakala apit kanan seperjuangannya pada era itu ialah Shaari Hashim, Raziman Hassan, Baharum Jahar, Iskandar Arshad dan Zabidi Sharif.

Anak jati Johor Bahru ini juga pernah dilantik sebagai penolong jurulatih skuad wanita negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

BHOnline

Leave a Reply