Mungkin tindakan balas dendam!

Bangkok: Kumpulan penyeludupan barangan dan manusia serta sindiket dadah yang membalas dendam, didakwa berada di belakang serangan yang menyasarkan balai polis marin di wilayah Narathiwat, pada Rabu lalu.

Komander Tentera Wilayah Ke-4 Thailand, Leftenan Jeneral Kriangkrai Srirak yang pada Jumaat meninjau kerosakan balai polis itu berkata, terdapat bukti untuk mengaitkan serangan itu dengan kepentingan peribadi yang terjejas di daerah Tak Bai dan rantau ini.

“Insiden itu berkaitan dengan banyak langkah proaktif untuk menguatkuasakan undang-undang dan menyekat dadah terlarang.

“Pihak berkuasa sudah menahan pengedar dadah, merampas aset mereka dan menggeledah gudang untuk barangan seludup,” katanya seperti dilaporkan Bangkok Post.

Beliau memberi jaminan bahawa penguatkuasaan undang-undang akan dipergiatkan dan siasatan diteruskan untuk mengenal pasti penyerang di Tak Bai.

Dalam serangan terhadap balai polis marin Tak Bai itu, tiga anggota keselamatan cedera selepas diserang individu bersenjata api dan bom tangan.

Kriangkrai berkata, walaupun insiden itu berlaku, rundingan damai dengan kumpulan pemisah di selatan Thailand akan diteruskan.

Insiden Tak Bai dibangkitkan untuk perbincangan semasa mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am Thailand-Malaysia (GBC) di Kuala Lumpur pada Khamis lalu, kata Timbalan Perdana Menteri Prawit Wongsuwon.

Malaysia juga membantu siasatan mengenai siapa di sebalik serangan itu, kata Prawit.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker