Orang asing tawan Kampung Melayu Pandan

Johor Bahru: Identiti Kampung Melayu Pandan di sini, sebagai perkampungan tradisional Melayu dalam bandar yang berusia hampir 80 tahun berubah 180 darjah apabila penduduk kian dihimpit pelbagai masalah berikutan kehadiran warga asing termasuk yang berstatus pelarian.

Isu yang melanda perkampungan itu bukan baharu, tetapi apa yang meresahkan penduduk tempatan ialah menjadi semakin ketara sejak kebelakangan ini terutama membabitkan kegiatan berkaitan dadah.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Melayu Pandan Mohd Fauzi Mohamad berkata, kampung itu kini digelar perkampungan antarabangsa berikutan lebih 50 peratus penghuninya terdiri daripada warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (Pati).

Menurutnya, kehadiran warga asing di perkampungan berkenaan berlaku secara mendadak kebelakangan ini dan mereka juga sewenang-wenangnya membina rumah secara haram di situ.

“Isu Pati berulang kali mereka ditangkap dan ada yang dihantar pulang ke negara asal namun ada juga yang kembali dan membina kediaman di sini.

“Perkampungan ini ada tiga jalan utama iaitu Jalan Imam, Jalan Surau dan Jalan Masjid selain puluhan laluan tikus. Bilangan penduduk termasuk warga asing kira-kira 3,000 orang dan warga asing bebas buat penyambungan elektrik dan bekalan air secara haram,” katanya.

Katanya, antara masalah sosial paling besar yang ditimbulkan golongan itu ialah penagihan dadah sehingga wujud sarang bagi melepas gian yang sekali gus membimbangkan penduduk tempatan.

“Apabila ada kegiatan penagihan dadah, akan timbul juga masalah lain berkaitan jenayah seperti pecah masuk rumah, kecurian motosikal dan curi harta benda lain.

“Bukan tiada tindakan daripada pihak berkuasa namun mereka yang ditahan dan dihantar ke pusat pemulihan melakukan kegiatan sama selepas kembali semula ke perkampungan itu.

“Kehadiran penagih dadah membuatkan ibu bapa bimbang kemungkinan anak-anak mereka turut terpengaruh dengan kegiatan tidak sihat itu,” katanya ketika ditemui.

Mohd Fauzi berkata, pada 2017 sebahagian penduduk juga sudah memiliki geran hak milik tanah dan difahamkan kini sebahagian tanah perkampungan berkenaan dimiliki syarikat swasta.

“Kami sebagai penduduk asal kampung ini berharap pihak berkaitan mengambil tindakan sesuai bagi mengelakkan masalah ini berpanjangan selain menimbulkan masalah lebih serius,” katanya.

Kampung Melayu Pandan dalam radar pengawasan polis

Isu kegiatan penagihan dadah di Kampung Melayu Pandan di sini, sentiasa dalam perhatian dan tindakan Polis Johor melalui beberapa siri serbuan dan tangkapan yang dilakukan.

Ia termasuk seramai 82 individu ditahan dalam Operasi Icebreaker selepas kawasan panas penagihan dadah digempur polis pada 30 Julai 2019.

Manakala pada Januari 21 tahun ini seramai 220 individu termasuk tiga warga asing ditahan dalam Op Tapis.

Dalam tangkapan berkenaan, semua lelaki yang ditahan itu berusia lingkungan 21 hingga 45 tahun yang menjadikan beberapa lokasi di kampung itu sebagai ‘port’ melepas gian.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, Kampung Melayu Pandan dikenal pasti antara 12 kawasan panas sarang penagih dan pengedaran dadah di Johor dan pelbagai langkah dilakukan untuk membanteras kegiatan itu.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam menangani masalah yang timbul akibat kegiatan penagihan dadah di negeri ini.

“Bagaimanapun, isu penagihan dadah dan jenayah lain yang wujud di Kampung Melayu Pandan juga berpunca daripada penempatan itu sendiri.

“Penempatan berkenaan padat dan bagi menyelesaikan permasalahan timbul, pelbagai pihak perlu memainkan peranan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan wakil penduduk Kampung Melayu Pandan di Program Pencegahan Jenayah dan Bual Bicara Ketua Polis Johor Bersama Pengusaha Kilang serta Wakil Komuniti Daerah Seri Alam di Dewan Serbaguna Taman Mawar di sini, baru-baru ini.

Katanya, polis dan agensi berkaitan sentiasa melakukan operasi dan tindakan berkaitan jenayah dan dadah di kawasan itu namun dalam masa sama memerlukan kerjasama daripada penduduk setempat.

“Isu berkaitan penagihan dadah di Kampung Melayu Pandan, malah di mana-mana kawasan sentiasa menjadi keutamaan polis melalui tindakan penguatkuasaan berterusan,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker