Schumacher terbabit kemalangan ngeri di Monaco

MONACO: Mick Schumacher terbabit dalam kemalangan mengerikan apabila keretanya putus dua dalam perlumbaan Formula Satu (F1) di Grand Prix Monaco.

Pemandu 23 tahun Jerman itu hilang kawalan ke atas jenteranya di pusingan ke-27 dn melanggar penghadang jalan di litar Monaco itu.

Anak legenda F1 Michael Schumacher itu tidak mengalami kecederaan serius, tetapi bendera merah terpaksa dikibarkan selepas usaha membersihkan litar ketika bendera kuning dikibarkan tidak berjaya.

Pasukan Schumacher, Haas mengesahkan pemandunya itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

“Mick kemalangan di Swimming Pool Chicane. Dia berjaya keluar dari kereta dan dalam keadaan baik,” kata Haas.

Ia adalah insiden kemalangan kedua membabitkan Schumacher musim ini selepas kejadian di Arab Saudi.

Sergio Perez dari pasukan Red Bull memenangi perlumbaan di Monaco itu yang tertangguh seketika akibat cuaca buruk.

Dia berjaya menghalang asakan pemandu Ferrari Carlos Sainz yang hanya ketinggalan 1.1 saat di belakang.

Rakan sepasukan Red Bull, pendahulu kejuaraan dan juara dunia Max Verstappen di tempat ketiga.

Pemandu tuan rumah Charles Leclerc dari pasukan Ferrari di tempat keempat selepas kekeliruan dalam strategi dua hentian pit menyebabkan dia tercicir dari kedudukan pendahulu.

AGENSI

Leave a Reply