Sebaik tiba di sini, saya terus kahwin

Klang: Sebahagian remaja perempuan serta wanita etnik Rohingya didapati akan berkahwin secepat mungkin dengan pasangan etnik sama sebaik tiba ke negara ini.

Selain itu, mereka juga sanggup dikahwinkan dengan lelaki etnik Rohingya walaupun tidak mengenali pasangan terbabit.

Perkara ini terdedah pada serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Pasar Besar Meru, Klang, Selangor jam 8 malam kelmarin.

Seorang remaja perempuan etnik Rohingya berusia 15 tahun yang enggan dikenali memaklumkan, dia kini hamil empat bulan.

“Saya berada di Malaysia sejak berusia sembilan tahun dan berkahwin awal tahun ini dengan suami yang juga (etnik) Rohingya berusia 27 tahun.

“Saya tidak bekerja manakala suami pula bekerja di pasar (Pasar Besar Meru),” katanya.

Bagaimanapun, sukar untuk berkomunikasi dengan remaja terbabit memandangkan dia tidak boleh berbahasa Melayu.

Maklumat pula dimaklumkan menerusi bantuan penterjemah.

Seorang lagi wanita etnik Rohingya berusia 20 tahun memaklumkan, dia terus dikahwinkan dengan lelaki daripada etnik sama sebaik tiba di Malaysia dua tahun lalu.

“Saya tiba di negara ini dua tahun lalu dan terus dikahwinkan dengan suami yang berusia 30-an.

“Hasil perkahwinan, kami dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia satu tahun. Saya tidak bekerja dan suami pula bekerja di pasar ini (Pasar Besar Meru),” katanya.

Pada masa sama, keadaan di Pasar Besar Meru itu boleh diumpamakan ‘pusat asuhan’ bayi etnik Rohingya.

Ini kerana sebahagian besar wanita terbabit mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak.

Suasana hiruk-pikuk dengan tangisan bayi dan kanak-kanak memenuhi kawasan warga asing yang dikumpulkan pada pemeriksaan berkenaan.

Pada serbuan bermula jam 8 malam itu, 704 warga asing dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia dan India berusia setahun hingga 55 tahun diperiksa.

Tinjauan wartawan di lokasi itu mendapati ada antara wanita yang diperiksa baru beberapa hari melahirkan anak.

Kebanyakan wanita terbabit dilihat mengendong bayi berusia bawah dua tahun.

Perkara berkenaan turut mendapat perhatian Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang turun padang pada operasi terbabit.

Katanya, beliau mendapati tempat tinggal warga asing terbabit amat menyedihkan, sekali gus membuktikan mereka tidak ada jalan lain selain tinggal di tempat berkenaan angkara beberapa sindiket.

“Mereka sanggup tinggal dan bekerja di tempat sebegini hingga melahirkan anak. Saya perhatikan apabila anak-anak itu dilahirkan, mereka secara automatik diberikan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

“Situasi itu pastinya akan membebankan kita dalam negara ini,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker