‘30,000 penyokong Liverpool memiliki tiket palsu’

Paris: Kerajaan Perancis menyalahkan penggunaan tiket palsu besar-besar sebagai punca kekecohan menjelang final bola sepak Liga Juara-Juara Eropah antara Liverpool dan Real Madrid, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, insiden itu yang menyebabkan perlawanan terpaksa ditangguhkan lebih 35 minit menimbulkan persoalan mengenai kemampuan Paris menganjurkan Sukan Olimpik 2024.

Kerajaan Perancis dikritik teruk oleh media dan ahli politik di Britain berikutan kekacauan menjelang perlawanan itu, yang menyaksikan beribu-ribu penyokong Liverpool yang memiliki tiket berdepan masalah untuk masuk ke stadium.

Jurucakap kepada Perdana Menteri Britain, Boris Johnson memberitahu media di London bahawa ramai penyokong Liverpool di ibu negara Perancis itu ‘berdepan saat indah’.

“Kami amat kecewa dengan cara mereka dilayan,” kata jurucakap itu.

“Penyokong berhak tahu apa yang berlaku.”

Tetapi, selepas mesyuarat dengan kementerian sukan, Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin menegaskan bahawa penipuan tiket dan sikap penyokong Liverpool menjadi punca kekecohan.

“Apa yang pasti, berlaku penipuan tiket palsu secara besar-besaran dan tersusun dan ini menjadi punca perlawanan akhir itu ditangguhkan,” kata Darmanin, yang mendakwa penyokong Liverpool lebih sukar dikawal berbanding penyokong Real Madrid.

Menurutnya, masalah itu berlaku kerana permintaan Liverpool yang mahukan tiket bercetak bagi penyokong mereka, berbanding tiket elektronik.

Darmanin berkata, terdapat kira-kira 30,000 hingga 40,000 penyokong Liverpool yang memiliki tiket palsu atau tiada tiket berada di luar Stade de France.

“Saya mengingatkan anda bahawa beberapa hari lalu, jurulatih Liverpool secara terbuka meminta penyokong datang ke Perancis, walaupun tiada tiket,” kata Darmanin.

Aksi final itu tertangguh lebih 35 minit selepas polis berusaha menghalang penyokong yang tiada tiket daripada memasuki stadium, manakala sebahagian pemegang tiket mendakwa mereka tidak dibenarkan masuk.

Rakaman televisyen menunjukkan beberapa lelaki yang memakai jersi Liverpool memanjat pagar stadium dan lari daripada polis untuk menyaksikan perlawanan itu.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker