‘Jangan politikkan pencapaian di Sukan Sea’

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menasihat sesetengah pihak untuk tidak mempolitikkan pencapaian kontinjen negara di temasya Sukan Sea Hanoi, Vietnam baru-baru ini.

Sebaliknya beliau menyeru agar semua bersama bersatu hati menggembeling tenaga dan usaha untuk melakarkan kejayaan lebih baik di temasya seterusnya.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim yang menuding jari dengan mengatakan ia adalah pencapaian terburuk kontinjen negara dalam tempoh 40 tahun.



“Mencari salah itu tidak bagus. Saya rasa Steven tak memahami apa yang dimaksudkan. Seperti yang saya kata ketika sidang media di Hanoi, tiada sesiapa pun rakyat Malaysia gembira dengan keputusan skuad negara menduduki tempat keenam keseluruhan.

“Kalau kita tanya atlet yang menang gangsa adakah mereka gembira dengan gangsa, pastinya tak 100 peratus gembira tapi mereka sudah lakukan yang terbaik.

“Perlu diingat, 60 peratus atlet ke Sukan Sea kali ini adalah kali pertama bertanding di peringkat antarabangsa dan 40 peratus di bawah 21 tahun. Tapi mereka beraksi dengan baik.

“Itu sebab saya katakan kepada persatuan sukan, kita semua perlu saling membantu untuk dapatkan kedudukan keseluruhan yang lebih baik,” katanya.



Tegas Ahmad Faizal, semua pihak iaitu Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan persatuan sukan perlu memberi kerjasama dan bekerja lebih gigih selepas ini.

Justeru beliau berharap, Steven memahami apa yang cuba disampaikan agar tiada pihak mempolitikkan sukan ini.

Terdahulu Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam menyifatkan prestasi kontinjen Malaysia di Sukan Sea ke-31 di Hanoi kali ini adalah pencapaian paling buruk negara dalam temasya dwi tahunan itu dalam tempoh 40 tahun.

Steven mendakwa pencapaian buruk berkenaan adalah susulan daripada tindakan pemotongan mendadak bajet sukan.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button