Kantoi bawa 1.35 tan daun ketum

GURUN: Cubaan dua penyeludup untuk membawa 1.35 tan daun ketum ke selatan tanah air gagal apabila mereka ditahan polis dalam sekatan jalan raya (SJR) di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kedah, Superintendan Mohd Mahiri Hussin, berkata dalam pemeriksaan jam 11.30 malam itu, polis menemui

135 bungkusan plastik berisi daun ketum di dalam lori berkenaan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati daun ketum itu dipercayai dibawa dari Pokok Sena untuk dihantar ke Kluang, Johor kerana permintaan yang tinggi di sana.

“Setiap bungkusan plastik itu dianggarkan seberat 10 kilogram dan semua 135 bungkusan berisi daun ketum berkenaan dianggarkan bernilai RM16,200 dirampas untuk tindakan lanjut.

“Dua lelaki tempatan masing-masing berusia 35 tahun ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya ketika ditemui selepas tamat operasi itu awal pagi ini.

Operasi bersepadu itu disertai seramai 56 anggota dan sembilan pegawai, termasuk dari JSPT Kedah, Peronda Lebuh Raya Zon Utara 1 JSPT Bukit Aman, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Jabatan Alam Sekitar serta Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) bermula jam 9 malam tadi.

Sementara itu, Mohd Mahiri berkata, sebanyak 52 saman dikeluarkan dalam operasi berkenaan membabitkan pelbagai kesalahan, termasuk 15 daripadanya memandu melebihi had laju.

“Selain itu, kesalahan tidak mempamerkan pelekat P kereta dan motosikal, cermin sisi, aksesori, nombor pendaftaran kenderaan dan tiada Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL).

“Enam tangkapan dilakukan pihak AADK membabitkan pemandu kenderaan iaitu lima daripadanya positif dadah jenis methaphetamine, manakala seorang lagi positif heroin.

“Sejumlah 24 notis turut dikeluarkan oleh JPJ membabitkan pelbagai kesalahan oleh pengguna jalan raya sepanjang operasi ini,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker