‘Kelas mengaji terakhir’

SEKINCHAN: Perjalanan pulang seorang imam masjid yang selesai mengajar pusat tahfiz ke rumahnya berakhir dengan tragedi apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 64 Jalan Teluk Intan-Klang, menghala Klang, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.15 petang, imam berusia 32 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah treler.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon, berkata mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 meninggal dunia akibat cedera parah di kepala.



Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang juga imam sebuah masjid di Tanjung Karang baru pulang mengajar di sebuah maahad tahfiz di daerah Sabak Bernam.

“Ketika kejadian, treler dipandu lelaki berusia 27 tahun berhenti di lorong kecemasan.

“Kenderaan berat itu kemudiannya dilanggar di bahagian kanan oleh motosikal mangsa yang datang dari arah sama. Mangsa terjatuh di atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Chee Khoon berkata, ketika kejadian itu juga treler terbabit tidak meletakkan sebarang tanda atau memberi isyarat untuk berhenti di lorong kecemasan.



“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjung Karang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button