Korea Selatan boleh saingi Brazil – Son

SEOUL: Son Heung-min memberi amaran kepada penyokong mereka supaya tidak terlalu melihat keputusan aksi Korea Selatan yang akan menanti kehadiran Brazil pada perlawanan persahabatan Khamis ini dan berkata perkara paling penting ialah ia membantu persiapan pasukan untuk Piala Dunia.

Penyerang berusia 29 tahun itu kembali selepas musim yang berjaya bersama Tottenham Hotspur bagi mengetuai negaranya pada aksi persahabatan menentang Brazil, Chile, Paraguay dan Mesir ketika mereka bersedia untuk pusingan akhir Piala Dunia buat kali ke-10 berturut-turut.

Skuad ‘Taegeuk Warriors’ tewas lima daripada enam pertemuan dengan Brazil tetapi Son bimbang dengan jangkaan tinggi terhadap pasukan itu.



“Jelas penyokong kami mahu kami menang dan menjaringkan banyak gol, tetapi ia tidak sentiasa berlaku seperti yang kami mahukan,” kata Son ketika tamat sesi latihan kem kebangsaan.

“Saya tidak rasa keputusan dalam perlawanan ini adalah penting. Walaupun kami tidak bermain baik, kami akan cuba mengambil seberapa banyak pengajaran daripadanya. Kami sepatutnya memandang kepada Piala Dunia dan cuba membina pasukan sempurna untuk kejohanan itu.”

Son percaya Korea Selatan sepatutnya boleh menyaingi pemenang lima kali Piala Dunia itu di Stadium Piala Dunia Seoul jika mereka bermain dengan potensi penuh.

“Jika kami boleh bermain dengan kebolehan sebenar, kami boleh menjadi kompetitif,” kata Son. “Kami ada ramai penyokong, dan kami akan menunjukkan kepada mereka apa yang kami ada.”



REUTERS

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button