Man City belum habis berbelanja

LONDON: Manchester City mungkin sudah menandatangani Erling Haaland dan mendapatkan Julian Alvarez dari River Plate untuk musim depan tetapi juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu hanya baru bermula untuk menguatkan pasukan, kata pengerusinya, Khaldoon Al Mubarak.

City mencapai persetujuan untuk mendapatkan penyerang Norway, Haaland dari Borussia Dortmund pada 1 Julai dengan pemain berusia 21 tahun itu menjaringkan 86 gol dalam 89 perlawanan buat kelab Jerman itu.

Pemain antarabangsa Argentina, Alvarez – yang meledak enam gol buat River Plate pada saingan Copa Libertadores minggu lalu – ditandatangani selama lima tahun setengah pada Januari dan bintang berusia 22 tahun itu kekal di Buenos Aires secara pinjaman hingga Julai.



“Saya boleh sahkan ada lagi pemain akan datang. Kami mahu menguatkan pasukan di bahagian yang kami perlu kuatkan,” kata Al Mubarak kepada laman sesawang pasukan.

“Seperti yang anda tahu, setiap musim sebahagian pemain akan meninggalkan pasukan dan kemudian kami perlu terus menguatkannya. Sekali lagi kami sentiasa cuba meningkat dan menguatkan pasukan.

“Saya rasa kami sudah membuat dua pembelian yang penting, tapi kami akan dapatkan beberapa lagi pemain. Kami akan melakukannya secepat mungkin, tapi anda tahu bagaimana pasaran ketika ini – ia tidaklah semuanya dalam kawalan kami.”

REUTERS



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button