Pemandu BMW diburu polis, pandu secara berbahaya

Kuala Lumpur: Polis giat mengesan pemandu sebuah kereta BMW 318i berwarna hitam yang dipandu secara berbahaya dan memotong di garisan berkembar di Jalan Batu Arang-Rawang.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, tindakan pemandu itu cuba memotong barisan kenderaan di kawasan garisan berkembar dan juga melawan arus menyebabkan berlakunya kemalangan membabitkan pengguna jalan raya yang lain.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak mengesan satu rakaman video berdurasi 48 saat yang tular di media sosial sekitar 4 petang, hari ini.

“Kita sedang mengesan pemandu kenderaan berkenaan dan pemilik rakaman papan pemuka (dashcam),” katanya.

Beliau turut mengesahkan satu laporan polis sudah dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saksi kejadian dan pengguna jalan raya yang terbabit dalam kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohamad Suhaimi Tukiman di talian 013-7557556 atau bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker