Pengadil ditumbuk ketika aksi final Sukan Terengganu

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri kesal dengan insiden pengadil ditumbuk ketika aksi final acara bola sepak Sukan Terengganu (SUTERA) antara pasukan Kuala Nerus dan Marang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, dekat sini, Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, insiden itu sepatutnya dapat dielakkan jika semua penggiat sukan nombor satu itu mengamalkan semangat kesukanan yang tinggi.

Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan dan tindakan yang sewajarnya terhadap mereka yang terlibat sebagai pengajaran.

Beliau juga menyarankan agar kawalan ketat diambil pihak penganjur bagi mengelak perkara sama berulang terutama SUTERA edisi ketiga yang bakal dihoskan Daerah Dungun pada tahun depan.

Terdahulu tular dalam laman sosial seorang pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Khairul Halizan Abu Bakar ditumbuk pada bahagian muka oleh seorang penyokong selepas tamat perlawanan berkenaan yang berpihak kepada Marang dengan kemenangan 1-0.

“Kita kesal dengan insiden yang berlaku dalam perlawanan itu. Kita serah kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan dan tindakan yang sewajarnya ke atas mereka yang terbabit. Pada masa sama kita akur apa-apa tindakan yang bakal dikenakan kepada individu berkenaan.

“Kita harap peristiwa sama tidak berulang kerana paling penting kita adakan SUTERA ini adalah untuk mencungkil bakat baharu bagi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi termasuk pentas Sukan Malaysia (SUKMA) bagi melahirkan pelapis berwibawa. Ini matlamat utama kita,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, seorang pengadil yang enggan mendedahkan namanya turut kesal dengan insiden yang berlaku selain menyatakan sudah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker