Polis Cari Lelaki ‘Acah’ Nak Baling Topi Kaledar

Susulan video viral seorang lelaki yang didakwa mahu membaling objek ke arah sebuah kenderaan yang melalui Jalan Temiang-Pantai di Seremban pada Ahad lalu, pihak polis dalam satu kenyataan memaklumkan sedang mencari lelaki tersebut.

Tak puas hati kerana dihon

Menerusi rakaman video itu, lelaki yang ingin membaling objek tersebut dikatakan berang selepas pemandu kereta berkenaan membunyikan hon selepas dia berada di lorong kecemasan yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Menerusi laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku pada tengah hari Ahad.

Terdapat sekumpulan penunggang motosikal yang berhenti dan meletakkan kenderaan di laluan kecemasan di lokasi kejadian.

Pada masa sama, rakaman dari kamera papan pemuka tersebut turut memaparkan seorang individu seakan-akan cuba untuk membaling objek ke arah kenderaan perakam.

Nanda berkata, susulan daripada rakaman yang tular itu, satu siasatan sedang dijalankan bagi mengesan pesalah yang terbabit. Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat terhadap kes tersebut boleh menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Fadzilah di talian 016-2895801.

Kes disiasat di bawah Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melakukan halangan di atas jalan yang boleh didenda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau kedua-duanya. Kes turut disiasat di bawah Seksyen 268(1) Kanun Keseksaan kerana melakukan mudarat awam dan boleh didenda tidak melebihi RM400.

Sinar Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker