Polis sudah kesan individu guna gambar profil Ketua Polis Perlis

Arau: Polis sedang mengesan individu bernama ‘Surina Aisyah’ yang didakwa menggunakan gambar identiti Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad untuk melakukan penipuan dalam talian dengan menyamar sebagai anggota polis.

Ini berikutan terdapat satu laporan seorang individu lain dipercayai wanita yang menjadi mangsa kepada ‘Surina Aisyah’ ini selepas diminta memindahkan wang RM7,000 ke dalam satu akaun demi menyelesaikan satu kes berkaitan dengan dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Asisten Komisioner Wari Kiew berkata, berdasarkan satu hantaran dalam Facebook dibuat mangsa, kejadian dipercayai berlaku pada Sabtu lalu apabila mangsa dipercayai mempunyai dua orang anak berusia enam tahun dan lima bulan menceritakan dalam hantaran berkenaan berkenaan kejadian dia dihubungi oleh seorang lelaki yang mendakwa sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ‘Awang Rosli Bin Haji Awang Koma’.

“Mangsa dimaklumkan bahawa dirinya mempunyai kaitan dengan seorang suspek yang bernama ‘Lim Chikheong’ yang didakwa terbabit dengan kes dadah dan pengubahan wang haram dan panggilan itu kemudian dihubungkan kepada seorang lagi individu yang mendakwa sebagai ‘polis’.

“Individu yang tidak memperkenalkan diri itu kemudian memberitahu bahawa mangsa yang kononnya sudah berada dalam senarai pihak polis kononnya perlu membuat rayuan dengan bekerjasama dengan seorang ‘pegawai atasan’ individu itu sekiranya tidak mahu dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati.

“Mangsa yang cemas dengan keadaan berkenaan kemudian disambungkan panggilannya itu kepada ‘pegawai atasan’ polis yang bernama ‘Surina Aisyah’ yang menyuruhnya untuk memindahkan wang sebanyak RM7,000 disebabkan mangsa sudah berada dalam pemantauan polis,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau di Mata Ayer, di sini semalam.

Katanya, mangsa didakwa dihubungi oleh ‘Surina Aisyah’ beberapa kali selepas itu dan bagi meyakinkan mangsa bahawa ‘Surina Aisyah’ adalah seorang ‘anggota polis’, suspek didapati menggunakan gambar profil Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad pada nombor telefon suspek.

“Apabila mangsa dihubungi ‘Surina Aisyah’ maka tertera gambar Datuk Surina Saad di situ yang lengkap beruniform bagi meyakinkan mangsa bahawa suspek adalah benar-benar seorang anggota ‘polis’ dan mangsa diberikan satu nombor akaun untuk memindahkan wang simpanan mangsa ke nombor akaun itu.

“Mangsa kemudian terus melakukan pemindahan menerusi mesin deposit wang di sebuah bank sebanyak RM7,000 dan selepas pemindahan dibuat, mangsa diarahkan ‘Surina Aisyah’ untuk sentiasa berhubung dengannya menggunakan aplikasi ‘Whatsapp’ setiap satu jam namun didapati tidak berbalas selepas transaksi itu dilakukan,” katanya.

Wari berkata, berdasarkan hantaran berkenaan mangsa didapati masih belum membuat laporan polis, namun pihak Ketua Polis Perlis sudah pun membuat laporan polis semalam bagi satu siasatan lanjut terhadap kes berkenaan dilakukan.

“Kita sudah membuka kertas siasatan dan kita berjaya mengesan akaun Facebook suspek namun aksesnya sudah di ‘private’ dan kita sudah serahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Nombor telefonnya juga sudah berjaya dikesan namun kita masih belum dapat mengesahkan lokasi penipuan berkenaan dilakukan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu menyalahgunakan komunikasi dan media sosial.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker