Proses penjualan aset Sapura Energy bermula

KUALA LUMPUR: Cadangan Sapura Energy Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Sapura 3000 Pte Ltd untuk menjual kapal Sapura 3000 pada pertimbangan tunai AS$71.5 juta (RM312.8 juta) tidak mengejutkan kerana pengurusannya telah memberikan isyarat untuk melupuskan aset marin luar pesisir bukan teras.

PublicInvest Research dalam notanya berkata, Sapura Energy pada Mac lalu melaporkan kerugian bersih RM8.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 2022, selain berkemungkinan besar diklasifikasikan sebagai penerbit terkesan (PN17) disebabkan masalah dari segi modal saham dan daya maju syarikat itu.

Firma penyelidikan pasaran itu berkata, kumpulan telah mengambil tindakan untuk menyelesaikan cabaran dari segi kecairan, termasuk rundingan bersama pelanggan terhadap kontrak sedia ada, dengan sasaran mencapai penyelesaian untuk pulih atau mengehadkan kerugian.

“Ia juga sedang berunding bersama vendor berhubung bayaran tertunggak selain rundingan bersama penyedia pinjaman menerusi kemudahan sedia ada atau baharu dan juga di bawah Skim Pengaturan (SOA),” katanya sambil menambah bahawa rundingan bagi pelupusan aset selanjutnya juga sedang dilaksanakan.

Sapura 3000 semalam memeterai Memorandum Perjanjian (MOA) bersama Safeen Feeder Company – Sole Proprietorship LLC, sebuah syarikat dalam Abu Dhabi Ports Group untuk penjualan kapal kapal pasang paip dan kren Sapura 3000.

“Harga kapal itu berdasarkan kesediaan pembeli dan penjual, selepas menjalankan proses Permintaan untuk Cadangan antarabangsa.

“Cadangan langkah penjualan aset itu adalah sebahagian daripada pelan tetapan semula kumpulan, yang memberi tumpuan kepada kemampanan jangka panjang Sapura Energy dengan meningkatkan kedudukan kecairannya, menyelaraskan model operasinya dan menyediakan lebih fleksibiliti untuk pertumbuhan strategik,” kata Sapura Energy dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Tunai yang dijana daripada cadangan penjualan Sapura 3000 akan digunakan untuk modal kerja dan mengurangkan pinjaman kumpulan.

Penjualan aset itu dijangka selesai pada pertengahan Julai ini.

Sapura 3000, sebuah kapal pasang paip serba boleh, mampu melaksanakan projek laut dalam dan cetek, dibina pada 2008 dan kini berlayar di bawah bendera Malaysia.

Laporan media dan spekulasi timbul pada pertengahan Mac lalu berhubung kemungkinan PETRONAS akan membeli sebahagian besar kepentingan dalam Sapura Energy.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan oleh PETRONAS, yang menjelaskan bahawa ia sentiasa dan akan terus dipandu secara ketat oleh rangka kerja sedia ada bagi mana-mana pertimbangan pelaburan atau pelupusan.

Satu lagi laporan yang memetik sumber rapat dengan perkara itu di Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) berkata bahawa mereka sedang merangka satu cadangan dan akan mengemukakan tawaran bagi menyokong Sapura Energy dengan satu pakej bantuan.

Perkembangan itu meningkatkan sentimen pelabur, dengan harga saham Sapura Energy meningkat sehingga 183 peratus kepada 8.5 sen, daripada paras terendah setakat tahun ini pada tiga sen.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker