Rafizi menang selesa kerusi Timbalan Presiden

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli memenangi saingan kerusi Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan 2022 semalam apabila menguasai keseluruhan undian daripada semua negeri, kecuali Sabah dan Perlis.

Dalam saingan itu, Rafizi memperoleh 68,992 undi; mengatasi Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang memperoleh 50,038 undi.

Empat kedudukan jawatan Naib Presiden PKR pula dimenangi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari; Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.



Amiruddin mendapat undian tertinggi di Selangor, secara keseluruhannya memperoleh 52,845 undi; diikuti Lih Kang (41,290 undi), Nik Nazmi (40,506 undi) serta 38,894 undi diperoleh Aminuddin.

Saingan Ketua AMK pula dimenangi bekas aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim, yang memperoleh 13,650 undi, mengatasi pesaingnya, Fahmi Zainol yang memperoleh 11,888 undi.

Jawatan Ketua Wanita PKR pula dimenangi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail, yang memperoleh 21,962 undi, mengatasi pencabarnya dengan majoriti tipis iaitu 400 undi atau 21,562 undi keseluruhan diperoleh Ahli Dewan Negara, Fadlina Sidek.

Dalam pemilihan kali ini, beberapa pemimpin kanan tewas dalam saingan merebut jawatan Naib Presiden PKR antaranya termasuk Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Samsul Iskandar Mohd Akin; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Fadzil Mohamed Fadzil; Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid serta Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.



Tumpuan selepas ini adalah pemilihan 20 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan AMK dan Majlis Pimpinan Wanita, di mana pencalonan sudah dibuka secara dalam talian sejak semalam hingga Selasa ini.

Berdasarkan takwim Pemilihan PKR 2022, proses pengundian dan keputusan bagi 20 jawatan AMK dan wanita dijadualkan berlangsung pada Kongres AMK dan Wanita pada 24 Jun ini, manakala pengundian dan keputusan bagi 20 jawatan MPP pada Kongres Nasional pada 25 Jun depan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan (JPP) PKR, Dr Zaliha Mustafa, berkata keputusan penuh Pemilihan PKR 2022 yang muktamad hanya akan diumumkan ketika kongres nasional parti itu pada 25 dan 26 Jun depan.

“Mulai semalam (kelmarin), keputusan tidak rasmi pada peringkat cabang dipamerkan menerusi laman sesawang Pemilihan Keadilan 2020 seperti yang sudah dijadualkan.



“Keputusan diumumkan ini masih tertakluk aduan dan bantahan yang sudah diterima dan yang masih dalam proses siasatan Panel Aduan JPP, sebelum pengumuman keputusan rasmi dibuat di Kongres PKR 25 dan 26 Jun ini,” katanya dalam kenyataan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button