Rezeki ‘tersadai’ 10 tahun

KUALA LUMPUR: Kali pertama dihantar kepada Lembaga Penapis Filem (LPF) pada 2012, namun, diklasifikasikan tidak sesuai untuk tayangan umum, bukan sedikit cabaran dihadapi pengarah filem, Spilt Gravy/Ke Mana Tumpahnya Kuah, Datuk Zahim Albakri Ikmal Hisham Albakri, 59, membawa karyanya untuk tontonan ramai.

Namun, berkat kesabaran dan kerjasama LPF, filem Spilt Gravy/Ke Mana Tumpahnya Kuah yang skripnya dihasilkan Allahyarham Jit Murat, akhirnya, diluluskan dengan beberapa perubahan dibuat kepada versi asal.

Ini termasuk babak kontroversi memaparkan adegan ‘Malaikat lalu’ lakonan arwah Jit dan Harith Iskander, yang dijadikan ‘scene’ dalam mimpi serta beberapa perubahan lain.

Filem Spilt Gravy/Ke Mana Tumpahnya Kuah yang diangkat daripada naskhah teater yang meraih empat anugerah pada Boh Cameronian Arts Award yang pertama pada 2003, mula ditayangkan di pawagam tempatan pada 9 Jun ini.

Berlatarbelakangkan Kuala Lumpur, filem ini berkisar keluarga Melayu kelas pertengahan atas yang agak porak-peranda mengambil latar masa 2011.

Zahim berkata, pada mulanya, filem adaptasi ini diklasifikasikan sebagai Tidak Sesuai Untuk Tayangan (TUT) oleh LPF.

“Namun, selepas diolah beberapa kali, akhirnya, filem Spilt Gravy/Ke Mana Tumpahnya Kuah mendapat kelulusan pada Mac 2020.

“Namun, kita terpaksa tunggu dua tahun kerana rintangan pandemik COVID-19.

“Dalam tempoh itu, banyak yang saya pelajari daripada LPF. Boleh dikatakan saban hari kami berbincang untuk proses olahan sesuai. LPF sebenarnya sangat bermurah hati memberikan alternatif kepada kami.

“Akhirnya, filem ini diluluskan untuk tontonan di bawah diklasifikasikan PG13 dan tidak sesuai ditonton kanak-kanak bawah 13 tahun,” katanya kepada BH Online.

Bercerita mengenai proses pembikinan filem Spilt Gravy/Ke Mana Tumpahnya Kuah, Zahim berkata, filem berkenaan melalui tiga fasa pembikinan.

“Pada fasa awal, saya mengaku agak berani hingga tidak mengambil kira soal tapisan yang mungkin dilalui.

“Ketika itu, saya fikir, seorang karyawan tidak harus meletakkan batasan pada karya dihasilkan. Saya juga mungkin kurang matang dengan dunia perfileman tanah air.

“Ketika itu, saya fikir, berani buat, beranilah tanggung. Kalau LPF hendak tapis, mereka akan lakukan tugas itu.

“Bagaimanapun, situasi (sekarang) sudah berbeza buat saya,” katanya.

Zahim berkata, demi mendapatkan kelulusan tayangan, pihaknya akur membuang watak atau dialog yang mampu mencetuskan kontroversi. Ini termasuk proses mengaburkan atau menyunting mana-mana aksi yang disifatkan tidak sesuai.

“Jika diikutkan, versi tontonan PG13 kelak hampir 70 peratus sama dengan karya asal. Ada beberapa babak atau dialog perlu disenyapkan.

“Malah, watak ‘Malaikat lalu’ lakonan arwah Jit dan Harith dijadikan babak mimpi untuk dilepaskan tontonan.

“Walaupun ada babak dan dialog yang dipadam atau dikaburkan, filem pertama saya ini masih menyentuh isu kontroversi, iaitu penampilan watak ‘Malaikat’ yang pada akhirnya kekal dengan apa yang mahu disampaikan dalam filem ini sejak awal lagi,” katanya.

Diadaptasikan daripada skrip sentuhan Allahyarham Jit, filem ini menghimpunkan pengalaman Zahim dalam dunia lakonan dan pengarahan pentas teater serta filem sejak tiga dekad lalu.

Filem ini pada mulanya dipentaskan dalam versi teater dan menemui penonton Malaysia dan Singapura sepanjang dua tahun mulai 2002.

Sejak tayangan perdana di Colombo International Film Festival pada 9 November 2015, filem ini tidak pernah ditayangkan di mana-mana lokasi.

Filem Spilt Gravy/Ke Mana Tumpahnya Kuah ditujukan Zahim kepada bapanya, Allahyarham Datuk Ikmal Hisham Albakri, iaitu arkitek yang terkenal di Malaysia.

Beberapa hasil kerja seni bina arwah bapanya turut dipaparkan dalam filem ini termasuk lokasi utama rumah keluarga Zahim yang didiami sejak sejak lebih 40 tahun.

Allahyarham Ikmal Hisham mengubahsuai dan memperluaskan rumah sebanyak dua kali pada 1960 dan pertengahan 1970 dengan memasukkan sentuhan uniknya.

Membabitkan kos hampir RM3 juta, filem Spilt Gravy/Ke Mana Tumpahnya Kuah menampilkan Zahim, Datuk Rahim Razali, Na’a Murad, Bernice Chauly, Sean Ghazi dan Juliana Ibrahim.

Pada 1st Boh Cameronian Arts Awards 2003, naskhah ini meraih trofi Skrip Asal Terbaik, Pengarah Terbaik, Rekaan Lampu Terbaik dan Anugerah Pilihan Penonton. Tajuk asal filem ini ialah Spilt Gravy On Rice.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker