Ringgit susut berikutan kekurangan sokongan belian

Ringgit Weakening

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan kekurangan sokongan belian, walaupun terdapat pembetulan dalam indeks dolar AS atau DXY yang merosot lagi kepada 101.367 mata berikutan kedudukan terlebih beli pada masa yang tidak ditentukan, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan jatuh kepada 4.3710/3750 berbanding dolar AS daripada 4.3640/3685 pada Isnin.

Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata dalam persekitaran dolar AS yang rendah, pasaran masih bimbang mengenai pendirian yang menyokong kadar faedah tinggi oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) dan bank pusat utama lain di seluruh dunia.

“Data inflasi terkini di Jerman, yang meningkat kepada 7.9 peratus pada April daripada 7.4 peratus pada bulan sebelumnya, menunjukkan bahawa Bank Pusat Eropah (ECB) dijangka akan mengurangkan akomodasi dasar monetarinya tidak lama lagi untuk menurunkan inflasi,” katanya kepada Bernama.

Berdasarkan prestasi ringgit-dolar AS yang menggalakkan baru-baru ini pada RM4.3663, Mohd Afzanizam menjangka pasangan mata wang itu mungkin bergerak lebih dekat kepada paras sokongan segera pada RM4.34 berikutan mata wang tempatan telah berada dalam kedudukan terlebih jual untuk suatu tempoh.

Ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1914/1948 daripada 3.1940/1976 pada Isnin dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.4100/4134 daripada 3.4289/4327.

Ia naik berbanding pound kepada 5.5123/5173 daripada 5.5192/5248 pada Isnin dan meningkat berbanding euro kepada 4.6966/7009 daripada 4.6978/7027.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker