‘Rupanya jiran saya! ‘

Jakarta: “Saya tidak tahu siapa calon suami saya sehingga akad nikah. Rupanya dia jiran sekampung saya,” kata Khusnul yang mengikuti perkahwinan beramai-ramai tanpa mengetahui identiti pasangannya.

Perkahwinan unik itu anjuran Pondok Pesantren Darul Falah Pusat di Sidoarjo, Jawa Timur, Indonesia.

Pengurusan pondok sudah mengadakan upacara berkenaan sejak 2016 yang mana pelajarnya dikahwinkan dengan pasangan yang identiti dirahsiakan.

Khusnul, salah seorang daripada peserta program itu pada 2007 mengakui mengalami kejutan pada hari akad nikah.



“Ketika itu, saya ikuti program ini bersama 68 pasangan lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Yayasan Dalilul Falihin Pondok Pesantren Darul Falah Pusat, Syaiful Bakri berkata, tahun ini acara berkenaan diteruskan dengan penyatuan 22 mempelai pada 22 Mei lalu.

Katanya, ia adalah acara rutin pihaknya bagi setiap lima tahun sekali, menikahkan pelajar mereka yang ingin berumah tangga tanpa mengetahui siapa calon jodoh.

“Semuanya dirahsiakan sehingga acara ijab dan kabul selesai barulah mereka akan bertemu dengan pasangan mereka.



“Selepas bernikah, mereka tinggal di bilik yang ada di pondok sebelum berpeluang ke tempat lain, membantu pondok cawangan lain,” katanya kepada Antara yang dipetik Kompas.

Syaiful berkata, sehingga kini, seramai 250 pasangan berjaya dinikahkan dan semua pelajar itu tidak dipaksa sebaliknya rela hati untuk bernikah.

“Calon pasangan adalah kalangan pelajar pondok dan juga orang luar.

“Sebelum itu, mereka perlu membuat permohonan dan pengasuh pondok ini, Umi Habibah akan memutuskannya kerana bukan mudah menentukan pasangan seseorang,” katanya.

Antara faktor diambil kira adalah tingkah laku, pengetahuan, berat dan tinggi, selain melakukan solat istikharah untuk pertimbangan jodoh terbaik pelajar.

“Kami juga bekerjasama dengan Pejabat Urusan Agama (KUA) supaya tidak membocorkan siapa calon pengantin yang akan dinikahkan.

“Pernikahan ini sah dan tiada yang berkahwin tanpa daftar,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker