‘Setiap pemain ada peluang sama rata’ – Maloney

Kuala Lumpur: Pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Brad Maloney menegaskan setiap pemain mempunyai peluang sama rata untuk dipertimbangkan dalam skuad utama menjelang aksi pertama menentang Korea Selatan dalam Piala Asia B-23 di Stadium Lokomotiv, Tashkent di Uzbekistan, Khamis ini.

Jelas Maloney, ketika ini kesemua 23 barisan pemainnya menunjukkan komitmen tinggi dalam latihan sekali gus menyukarkan untuknya membuat pilihan.

Namun katanya, senario itu amat baik di mana anak buahnya dilihat bersaing secara sihat untuk dipertimbangkan dalam kesebelasan utama termasuk dua tonggak tengah iaitu Mukhairi Ajmal dan Nik Akif Syahiran Nik Mat.

“Setiap pemain berpeluang dan kedua-dua pemain ini adalah pemain utama dan sangat bagua. Mereka juga tersedia untuk pemilihan.

“Kami akan mengambil setiap perlawanan mengikut meritnya sendiri, supaya perlahan-lahan membentuk apa yang kita panggil kesebelasan utama tetapi buat masa ini agak awal untuk mengatakannya,” katanya.

Di Uzbekistan itu nanti, skuad negara diletakkan dalam Kumpulan C bersama Korea Selatan juga juara bertahan kejohanan itu.

Selain pasukan gergasi Asia itu, dua lagi lawan iaitu Thailand dan Vietnam turut berada dalam kumpulan sama, sekaligus menghadirkan peluang buat Malaysia untuk cuba mengintai satu daripada dua slot ke suku akhir dari kumpulan itu.

Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad negara dalam saingan itu adalah pada 2018 di China apabila Malaysia berjaya melepasi peringkat kumpulan sebelum tewas di suku akhir.

Pasukan negara yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee pada waktu itu, tumbang 1-2 di tangan Korea Selatan, di mana Maloney juga ketika itu bertindak selaku penolong jurulatih negara.

METRO

Leave a Reply