Bella berdiri lebih 10 jam – Saksi

Kuala Lumpur: Saksi pendakwaan kelapan, Suhana Zam, 40, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, hari ini bahawa melihat remaja kelainan upaya (OKU) Bella berdiri dari tengah hari hingga tengah malam.

Suhana ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad pada sesi pemeriksaan utama itu berkata, beliau melihat Bella berdiri di tepi dinding ketika hadir ke rumah disewa pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali di Kondominium Irama Wangsa, Wangsa Maju.

Beliau yang juga pegawai penyelidik undang-undang di sebuah firma guaman mengenali Siti Bainun sejak tahun 2009 di Menara Dato Onn.

Saksi itu turut memberitahu mahkamah, pada 21 Mei 2021, dia juga terkejut apabila melihat Bella dibiarkan tidur sendirian dalam bilik membasuh pakaian (laundry) tanpa sebarang tilam, alas, selimut dan bantal ketika tidur di kondominium terbabit untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama penghuni rumah berkenaan.

“Saya terkejut dan tergamam. Sewaktu pertama kali nampak saya tak tahu nak buat apa sebab pada waktu itu jam empat pagi, saya sudah letih sangat. Saya tergamam dalam tempoh 10 hingga 15 saat.

“Saya tidak percaya dengan apa yang saya nampak. Saya tutup pintu, saya tutup lampu, saya kunci kemudian masuk bilik (sendiri) dan baring,” katanya.

Suhana ketika ditanya oleh Nor Azizah turut menjelaskan, pada sebelah siang ketika jamuan raya, Bella tidak memakai pakaian baharu seperti kanak-kanak lain yang tinggal di kondominium berkenaan namun Siti Bainun hanya menyuruh salah seorang penghuni bernama Aida memakaikan Bella baju raya selepas ditegur.

“Mula-mula Bella berdiri dekat peti ais sebab ramai orang. Bila masa hendak salam, saya ingat lagi Kak Haiza ada cakap ‘Bella mari sini sekali.’

“Masa itu Bella pakai pakaian duduk rumah. Dia bukan pakai baju raya. Yang lain masa itu semua pakai baju raya. Dia pakai kemeja-T dan seluar. Bila Kak Haizah sudah panggil dengan kuat Bainun terdengar. Lepas itu Bainun kata dengan Aida ‘Aida pergi tukar baju Bella’,” kata Suhana.

Menurutnya, Aida mematuhi arahan Siti Bainun dan menggantikan baju Bella dengan pakaian raya yang baru iaitu baju kurung.

Tambah Suhana, ketika bersalaman baru bermula, Siti Bainun meminta Aida membetulkan pakaian Bella kerana luka yang berada di badan remaja itu terdedah.

“Saya dengar Bainun cakap ‘betulkan dia punya butang itu. Pasang tinggi sikit. Nanti orang nampak luka itu, kata saya dera dia pula,” kata Suhana.

Tambahnya, kejadian Bella tidur di dalam bilik laundry bukan hanya sekali kerana remaja didapati masih tidur di bilik yang sama pada malam kedua dia berada di kondominium itu.

Suhana berkata, dia nampak Siti Bainun menghampiri Bella yang berdiri di depan peti ais pada jam 12 tengah malam.

“Bila semua orang sudah balik, keadaan sudah tenang, saya sambung buat kerja pejabat. Saya duduk di meja makan. Masa itu saya perasan Bella ada berdiri depan peti ais.

“Apa yang jadi malam sebelum itu menyebabkan saya berdebar-debar melihat Bella berdiri di situ. Saya melihat dia dari ekor mata sahaja.

“Dalam jam 12 lebih saya perasan Bainun pergi ke dapur lepas itu saya perasaan dia minta Bella masuk ke dalam bilik laundry dengan menggunakan isyarat tangan,” katanya.

Menurut Suhana dalam keterangannya, selepas Bella masuk dalam bilik laundry pengasas Rumah Bonda itu menuju ke biliknya untuk tidur.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung pada 30 Jun nanti.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker