Bersediakah kita bayar ‘caj kesesakan’?

KUALA LUMPUR: Pengenalan ‘kadar harga jalan’, iaitu bayaran yang dikenakan untuk masuk ke dalam zon sesak di bandar besar disifatkan antara langkah terbaik dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama di ibu negara.

Ini berikutan pendekatan yang juga dikenali sebagai ‘caj kesesakan’ itu telah lama dilaksanakan di bandar luar negara, antaranya Singapura; London, United Kingdom; Stockholm, Sweeden dan Milan, Itali.

Langkah untuk jangka panjang ini juga bertujuan mengurangkan perjalanan waktu puncak, mengurangkan kesesakan jalan raya serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.



Namun, adakah pengguna jalan raya di Kuala Lumpur bersedia sekiranya ia dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun akan datang selepas sistem jaringan pengangkutan awam siap sepenuhnya?

Mengulas isu itu, Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Harlina Suzana Jaafar, berkata walaupun lebih selesa membawa kereta sendiri, masyarakat perlu sedar kenderaan pensendirian punca utama kesesakan.

Jelasnya, penambahan atau pelebaran jalan raya juga bukanlah satu solusi kepada pengurangan kesesakan, malah ia menambahkan lagi bilangan kereta persendirian yang akan memburukkan situasi.

Langkah itu termasuk mempersiapkan infrustruktur di sekitar pusat bandar dan kawasan perumahan bagi membolehkan penggunaan pelbagai mod mobiliti lain termasuk basikal, skuter, dan berjalan kaki selain memperkenal zon rendah karbon.



“Secara kesimpulannya, penambahbaikan adalah harus menuju ke arah ‘modal split’ atau ‘modal share’, iaitu penggunaan semua mod pengangkutan seperti tren dan berbasikal secara seimbang.

“Walaupun ramai berpandangan ia tidak sesuai dilakukan di negara kita yang panas, dengan adanya kreativiti, kita mampu mewujudkan infrustuktur yang selesa bagi menarik pengguna menggunakan mobiliti terbabit,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kerajaan dijangka mempertimbangkan melihat semula struktur bayaran letak kereta di dalam bandar setelah projek Transit Aliran Massa (MRT) 3 siap kelak.

Ia termasuk melihat keperluan untuk mengenakan fi alam sekitar dan bayaran kesesakan kenderaan apabila sistem jaringan pengangkutan awam yang sudah lengkap diwujudkan.



Pandangan sama dikongsi Pensyarah Kanan, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Safizahanin Mokhtar yang menyarankan kajian menyeluruh dan projek perintis caj kesesakan dilaksanakan terlebih dahulu seperti dilakukan di bandar utama luar negara.

“Mengambil contoh pelaksanaan caj kesesakan di kota London, ia mengambil tempoh 10 tahun kajian terperinci, termasuk mengkaji pergerakan pengguna dari lokasi tertentu dan diikuti beberapa kawasan dipilih untuk dilaksanakan percubaan projek itu.

“Pada awalnya ada bantahan, namun pelaksanaan itu dilakukan secara perlahan sehingga pengguna sendiri merasai impak, iaitu pengangkutan awam bas secara tiba-tiba lebih efektif mengikut jadual perjalanan kesan tiada kesesakan trafik.

“Ia sekali gus memupuk pengguna memilih mod pengangkutan alternatif,” katanya.



Berdasarkan laporan Road Traffic Volume Malaysia (RTVM) 2018 disediakan Kementerian Kerja Raya, beliau berkata, kualiti jalan utama di ibu kota antara tahap D (sederhana) dan F (gagal) untuk menampung bilangan kenderaan.

Katanya, ia disebabkan pertambahan kenderaan yang tinggi sehingga berlaku kesesakan teruk, disokong dengan laporan ‘The Asean Secretariat’ pada 2017 yang menyatakan rakyat Malaysia memiliki kenderaan persendirian kedua tertinggi.

Menurut laporan itu, pemilikan kenderaan persendirian di negara kita adalah sebanyak 896.7 kenderaan bagi 1,000 penduduk selepas Brunei, berbanding Thailand, Indonesia dan Vietnam.

BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button