CIMB catat untung bersih RM1.43 bilion

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih CIMB Group Holdings Bhd mengecil kepada RM1.43 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 daripada RM2.46 bilion pada tahun sebelumnya disebabkan oleh keuntungan penilaian semula sebanyak RM1.16 bilion serta kesan Cukai Makmur.

Pendapatan turut susut kepada RM4.74 bilion daripada RM5.91 bilion sebelumnya, terutama dipengaruhi oleh persekitaran pelaburan yang lebih lemah, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Kumpulan perkhidmatan kewangan itu berkata, keuntungan penilaian semula adalah daripada penyahgabungan TNG Digital pada suku pertama tahun kewangan 2021.



Ia berkata, pertumbuhan pinjaman memperoleh semula momentum, meningkat sebanyak 4.9 peratus tahun ke tahun berikutan pemulihan ekonomi yang memberi kesan positif kepada kebanyakan pasaran dan segmen, terutama dalam perbankan pengguna yang mana pinjaman berkembang sebanyak 6.9 peratus tahun ke tahun.

“Deposit juga meningkat sebanyak tujuh peratus didorong oleh pertumbuhan akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) yang kukuh sebanyak 9.9 peratus tahun ke tahun, yang diterjemahkan kepada peningkatan dalam nisbah CASA daripada 42.3 peratus yang dicatatkan pada Mac 2021 kepada 43.5 peratus pada Mac 2022,” katanya.

CIMB Group berkata, kedudukan modalnya kekal kukuh dan melebihi sasaran dengan nisbah ekuiti biasa tahap 1 (CET1) pada 14.5 peratus pada Mac 2022, meningkat daripada 12.9 peratus pada Mac 2021 dan 14.5 peratus pada Disember 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata kedudukan modal dan kecairan kumpulan serta kualiti aset terus kukuh, menunjukkan kekuatan dan daya tahan francais perniagaannya dalam persekitaran operasi semasa.



“Kami bersemangat untuk melihat daya tarikan positif dalam pertumbuhan pinjaman kerana strategi untuk membentuk semula portfolio kami mula membuahkan hasil.

“Pada masa yang sama, usaha pengoptimuman kos yang berterusan telah menyumbang kepada perbelanjaan operasi yang lebih rendah dan peningkatan dalam nisbah kos kepada pendapatan (CIR), walaupun perbelanjaan yang lebih tinggi berkaitan dengan pelaburan teknologi dan operasi,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan itu dijangka membelanjakan RM1 bilion pada TK22 untuk memacu pendigitalan selanjutnya serta menambah baik teknologi dan daya tahan operasi.

Mengenai prospek, beliau berkata kumpulan itu kekal optimis untuk baki tahun 2022 memandangkan jangkaan pemulihan ekonomi serantau serta pengembangan permintaan dalam negeri.



“Bagaimanapun, kami juga kekal berhati-hati terhadap peningkatan risiko pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan berikutan kesan tekanan inflasi dan ketidaktentuan geopolitik,” tambahnya.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button