Gambar dapat Saman pun dapat untuk kenangan

Seremban: Pengguna jalan raya yang bersantai bagi menikmati pemandangan indah dengan memberhentikan kenderaan di bahu jalan di Jalan Temiang- Pantai dekat sini, dikenakan saman, semalam.

Dalam operasi yang bermula 5.30 petang itu, sebanyak 17 saman dikeluarkan kerana tindakan pemandu meletakkan kenderaan di lorong kecemasan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, lokasi berkenaan sering menjadi tumpuan kerana pemandangannya, namun tindakan segelintir pengguna jalan raya boleh mengundang kemalangan.



“Satu Operasi Halangan dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD)

Seremban di laluan itu bagi mengelakkan tindakan segelintir pengguna jalan raya yang berhenti di lorong kecemasan di sepanjang laluan itu yang boleh mengundang bahaya semua pihak.

“Sepanjang operasi ini dijalankan sebanyak 17 saman dikeluarkan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan.



Beliau berkata, tindakan memberhentikan kenderaan di bahu jalan atau lorong kecemasan boleh diambil tindakan mengikut Kaedah 50 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan Kaedah 53 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

“Pesalah juga boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana melakukan mudarat awam,” katanya.

Jelas beliau, mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan.

“Bagi sabitan kali kedua atau seterusnya, didenda tidak melebihi RM4,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya,” katanya.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button