Malaysia benam Jepun 5-0

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki kebangsaan mengotakan janji mereka apabila meraih kemenangan besar ke atas Jepun pada aksi terakhir saingan Super 4 Piala Asia 2022 yang berlangsung di Jakarta, hari ini dan sekali gus mara ke final.

Skuad bimbingan Arul Selvaraj melakar kemenangan 5-0 ke atas skuad Negara Matahari Terbit itu dalam aksi di Stadium Hoki Gelora Bung Karno dengan pasukan negara membuka tirai jaringan menerusi Shello Silverius pada minit ke-15, hasil gol padang.

Momentum jaringan Malaysia diteruskan selang 15 minit kemudian oleh Aiman Rozemi sebelum Muhammad Razie Abd Rahim meledak jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-35.

Tidak lama kemudian, Muhammad Najib Abu Hassan meledak jaringan keempat pasukan sebelum Mohamad Ashran Hamsani menutup tirai jaringan kemenangan negara pada minit ke-42.

Sebelum ini, Malaysia diikat India dan Korea Selatan dengan keputusan masing-masing 3-3 dan 2-2. Korea Selatan dan India dijadual bertemu jam 7.30 malam ini.

Dalam pada itu Bernama melaporkan, kapten pasukan, Muhamad Marhan Mohd Jalil berkata kejayaan itu terhasil kerana semua pemain telah memberi persembahan terbaik, serta kekal fokus untuk mengelakkan Jepun menjaringkan gol.

“Persediaan untuk perlawanan akhir telah bermula dengan perlawanan hari ini. Esok kita akan beri yang terbaik untuk menang,” katanya.

Arul Selvaraj pula memuji semua pemain ke atas kejayaan untuk menundukkan Jepun, yang juga merupakan pemenang pingat emas Sukan Asia 2018.

“Persiapan untuk setiap perlawanan dilakukan setiap pemain, saya hanya berikan panduan. Saya percaya kalau kita memperkasakan mereka, mereka akan menjadi lebih kuat,” katanya.

Untuk perlawanan akhir, beliau berkata mereka boleh raikan kejayaan ini sebentar dan turun esok dengan tenang, sabar dan deliver kerana itu peluang terbaik untuk cipta sejarah.

Pada aksi final yang dijadualkan esok, Malaysia bakal bertemu sama ada India atau Korea Selatan yang akan beraksi dalam Super 4 hari ini, manakala Jepun akan beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.

BHOnline

Leave a Reply