Nketiah buat Chelsea merana

London: Eddie Nketiah mencerahkan impian Arsenal menduduki kelompok empat teratas Liga Perdana selepas dua gol penyerang itu membantu kemenangan dramatik 4-2 ke atas Chelsea di Stamford Bridge, awal pagi tadi.

Nketiah dilepaskan oleh Chelsea ketika berusia 16 tahun pada 2015 dan dia bagaikan membalas dendam dengan jaringan liga pertamanya musim ini.

Pemain berusia 22 tahun itu meletakkan Arsenal di depan sebelum Timo Werner menyamakan kedudukan.

Skuad Mikel Arteta kembali mendahului menerusi Emile Smith Rowe namun Cesar Azpilicueta menceriakan kembali penyokong Chelsea.

Nketiah menjadikan aksi ‘derby’ London tambah mendebarkan apabila menghukum pertahanan tuan rumah pada babak kedua dan Bukayo Saka melengkapkan kejutan Arsenal dengan meledak penalti pada masa kecederaan.

Selepas tewas tiga aksi terakhir, sumbangan penting Nketiah membolehkan Arsenal kembali dalam persaingan ke Liga Juara-Juara musim depan.

Gunners kini berada di tangga kelima dan hanya dipisahkan dengan Tottenham di tangga keempat berdasarkan perbezaan gol dengan kedua-dua pasukan berbaki enam perlawanan.

“Ia malam yang hebat dan pemain berhak meraikannya. Ia dua minggu yang sukar tetapi mereka kembali bangkit dengan semangat juang tinggi,” kata Arteta.

“Saya puji karakter pemain. Ketika tewas anda dikritik tetapi bagi mereka, ia seperti pencetus semangat. Mereka semakin matang.”

Arsenal yang mengidam layak ke Liga Juara-Juara kali pertama sejak 2017 sekali lagi berdepan misi getir apabila menentang pasukan di tangga keenam, Manchester United pada Sabtu ini.

Finalis Piala FA, Chelsea kekal di tangga ketiga tetapi mereka kini hanya lima mata di depan Arsenal dan tidak boleh keciciran mata lagi selepas ini.

Chelsea melepaskan 11 gol dalam tiga aksi terakhir di tempat sendiri dan kekecewaan Azpilicueta terserlah selepas bertengkar dengan penyokong sejurus perlawanan tamat.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker