Rawatan bomoh konon boleh rawat kanser

Padang Terap: Sanggup menghabiskan wang semata-mata untuk mendapatkan rawatan bomoh bagi mengelak menjalani rawatan kemoterapi di hospital boleh mengundang bahaya kepada pesakit kanser.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Canser Survivors Malaysia (CSM) Zuraini Kamal yang mengakui kebanyakan pesakit kanser di negara ini sanggup berjumpa bomoh yang kononnya untuk mendapatkan penawar bagi menyembuhkan sakit kanser dialami.

Menurutnya, ada sebahagian mereka mengadu sudah terlambat untuk mendapatkan rawatan di hospital selepas kanser yang dihidapi sudah merebak di peringkat akhir kerana lebih percayakan bomoh sehingga menyebabkan habis wang simpanan.

“Saya nasihatkan semua pesakit kanser, tolonglah…dapatkan rawatan awal di hospital sebaik dikesan menghidap apa juga kanser kerana hanya rawatan hospital saja dapat membantu memulihkan sakit yang dialami.

“Pesakit kanser biasanya perlukan wang yang banyak untuk menjalani rawatan dan bukannya untuk dibayar kepada bomoh serta membeli produk kesihatan tanpa saranan doktor,” katanya ketika ditemui sewaktu menyampaikan sumbangan kepada pesakit kanser di sini, semalam.

Pesakit kanser otak, Che Intan Md Zain, 60, berkata, dia hilang segala-galanya selepas terpaksa menjual rumah, barang kemas serta wang simpanan gajinya yang dianggarkan lebih RM60,000 kerana percayakan bomoh yang diperkenalkan oleh rakannya.

Katanya, sejak dikesan menghidap penyakit itu, dia dihantui kebimbangan memandangkan tahap kesihatannya terganggu selain tumor di otak sebelah kiri semakin besar.

“Saya mula sakit pada 2011 dan bekerja di sebuah kilang di Seberang Jaya, Pulau Pinang.

“Sebelum itu, saya sudah menjalani pembedahan di Hospital Pulau Pinang untuk membuang tumor di sebelah kiri selain menjalani ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan Pengimejan Resonans Magnetic (MRI).

“Atas nasihat seorang rakan, dia menasihati saya supaya bertemu dengan bomoh terkenal ketika itu di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan saya terus bersetuju untuk bertemu bomoh berkenaan asalkan kanser yang dialami sembuh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Batu 3 1/3 Jalan Pokok Sena, di sini.

Menurut Intan, bomoh lelaki berusia lewat 40-an itu menasihatkannya supaya tidak menjalani rawatan di hospital jika berubat dengannya berserta syarat tertentu.

“Dia suruh saya cari kain putih orang mati kena bunuh hari Selasa, tanah kubur selain memaklumkan dalam badan saya ada gangguan makhluk halus.

“Saya tak dapat cari kain tu tapi dia mintak saya bayar RM2,000 untuk tolong dia carikan selain banyak lagi wang yang perlu dibayar selepas itu dengan alasan untuk perubatan saya,” katanya.

Menurutnya, akibatnya keadaan kesihatan terus merosot hingga menyebabkan tumor di otaknya semakin membesar sehingga sekarang dan penglihatan juga kabur serta terpaksa dipapah ketika berjalan.

Katanya, dia hilang segala-galanya sekelip mata dan kini terpaksa menumpang tinggal di rumah ibunya, Hatijah Long, 84, yang semakin uzur.

Che Intan berkata, dia malu dengan semua orang termasuk ahli keluarga dan suaminya pula, Maznan Mohd Din, 60, sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan tetapi kini tidak bekerja kerana sudah berusia,” katanya.

Pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki yang sudah berkahwin dan tinggal berasingan serta anak angkat lelaki berusia 13 tahun yang menetap di situ.

Terdahulu, Che Intan menerima sumbangan daripada Zuraini iaitu wang tunai, barangan keperluan dapur serta telekung untuk kegunaan harian selain sokongan moral kepadanya untuk meneruskan kehidupan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker