18 individu serang Datuk Ramachandran ditahan

 

Georgetown: Seramai 18 individu diberkas polis susulan serangan terhadap Pengarah Eksekutif Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang oleh sekumpulan lelaki bersenjata di hadapan rumahnya di Taman Alma, Machang Bubok, di sini, 23 Julai tahun lalu.

Kesemua suspek terdiri daripada 16 lelaki dan dua wanita berusia antara 22 hingga 53 tahun.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemuanya mempunyai rekod jenayah termasuk dadah.



Katanya, pada 26 Mei lalu, dua suspek utama berusia 27 dan 48 tahun yang masing-masing berasal dari Kedah dan Pulau Pinang berjaya diberkas menerusi serbuan di sebuah hotel di sini, pada jam 2.15 pagi.

“Polis masih mengesan seorang lelaki berusia 22 tahun bagi membantu siasatan terhadap kes berkenaan.

“Lelaki berkenaan bernama SS Dinish beralamat di No 11A Jalan Semenyih Impian 18, Taman Semenyih Impian, Semenyih, Selangor,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.



“Turut dirampas semasa siasatan berkenaan ialah Hyundai Sonata berwarna hitam yang dipercayai digunakan suspek semasa serangan.

“Berikutan penahanan itu, kita percaya sudah berjaya menyelesaikan kes berkenaan,” katanya.

Dalam kejadian itu, mangsa, Datuk M Ramachandran, 70, diserang sebaik beliau keluar dari kereta menyebabkan dia mengalami kecederaan parah.

Mangsa diserang empat suspek yang memakai topeng muka dan bersenjatakan tajam serta menaiki sebuah kereta pada jam 8.30 malam.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button