Argentina menang 3-0 mengatasi Itali di Finalissima

LONDON: Lionel Messi mencuri tumpuan apabila juara Copa America, Argentina menang 3-0 mengatasi juara Eropah, Itali pada aksi Finalissima dekat Wembley sebentar tadi.

Mendapat inspirasi daripada Messi, Argentina mendahului dua gol pada babak pertama hasil jaringan Lautaro Martinez dan Angel Di Maria.

Paulo Dybala melengkapkan kejayaan Argentina ketika Messi kembali ke tahap terbaiknya selepas musim yang mengecewakan bersama Paris Saint-Germain.

Persembahan terbaik pemain berusia 34 tahun itu membantu untuk dua jaringan dan berbaloi dalam penampilan jarang dilakukan di gelanggang hebat itu.

Messi yang dijulang rakan sepasukan selepas aksi berkenaan berkata: “Hari ini adalah ujian yang bagus kerana Itali adalah pasukan yang hebat. Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang bagus dan perancangan yang bagus untuk menjadi juara.

“Ia final yang indah, dipenuhi rakyat Argentina. Apa yang kami lalui di sini sangat cantik.”

Ia satu lagi saat diingati buat Argentina yang sudah layak ke Piala Dunia tahun ini selain mengatasi Brazil yang menamatkan penantian 28 tahun untuk menang Copa America pada 2021.

Argentina juga sudah menampilkan persembahan sebagai satu daripada pasukan pilihan untuk menang Piala Dunia dan menewaskan Itali menjadi satu lagi petunjuk kekuatan La Albiceleste yang tidak tewas dalam 32 perlawanan.

Jika Messi boleh bermain pada tahap itu di Qatar, skuad kendalian Lionel Scaloni pasti akan digeruni ketika pasukan berkenaan mengejar gelaran Piala Dunia pertama sejak 1986.

“Semuanya berubah sejak Copa America. Kini kami meraikannya dan ia berlaku lebih mudah. Kami teruja tetapi mesti terus tidak terbawa-bawa dengan keadaan ini,” kata Di Maria.

AFP

Leave a Reply