Bekas Panglima ATM ke-11 meninggal dunia

Kuala Lumpur: Bekas Panglima Angkatan Tentera ke-11, Jeneral (B) Tan Sri Dr Abdul Rahman Abdul Hamid, 83, meninggal dunia awal pagi tadi di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini, kerana jangkitan kuman di paru-paru.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan memaklumkan Allahyarham dimasukkan ke HTTM pada 25 Mei lalu dan kesihatannya mulai merosot semalam dan meninggal dunia pada 2.15 pagi hari ini.

“Jenazah akan disolatkan di Masjid Khalid Al Walid di Kementerian Pertahanan di sini, selepas Zuhur dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sakinah Raudah, Sungai Besi petang nanti,” menurut kenyataan itu.

Abdul Rahman menyertai ATM pada 1955, dilantik sebagai Panglima ATM pada April 1992 dan bersara pada Februari 1994.



Abdul Rahman meninggalkan isteri iaitu Puan Sri Rosilah Ahmad dan empat orang anak.

Sementara itu dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi ATM, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera, Puan Sri Tengku Muhaini Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah serta seluruh warga ATM merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham.

“Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas segala jasa-jasa Allahyarham. Marilah kita bersama-sama membaca ummul kitab Al-Fatihah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Amin,” menurut hantaran itu.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker