Gurun dilanda banjir

Gurun: Sejumlah 54 rumah di Taman Gurun Jaya dan Kampung Ibor di sini, dilanda banjir selepas cuaca hujan lebat berlarutan lebih tiga jam sejak awal pagi tadi.

Hujan lebat terbabit menyebabkan berlaku limpahan air sungai sehingga menjejaskan penduduk yang kebanyakannya sedang tidur.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan berhubung kejadian pada 4.35 pagi.



Beliau berkata, dua pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak dan BBP Yan digerakkan ke lokasi bagi memantau keadaan dan membantu penduduk terjejas.

“Paras air didapati naik kira-kira 0.3 meter di kawasan Taman Gurun Jaya menyebabkan empat rumah terjejas, manakala di Kampung Ibor pula air naik sehingga 0.9 meter menjejaskan 50 rumah penduduk.

“Berikutan itu, operasi memindahkan 10 mangsa di Taman Gurun Jaya terpaksa dilakukan membabitkan empat lelaki, tiga wanita dan tiga kanak-kanak, manakala di Kampung Ibor pula membabitkan 14 mangsa iaitu tiga lelaki, empat wanita dan enam kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi.

Mohamadul Ehsan berkata, kesemua mereka dipindahkan ke tempat selamat iaitu di rumah keluarga berhampiran berikutan tiada pusat pemindahan dibuka, setakat ini.



Sehingga kini, cuaca masih hujan dengan lebih banyak kawasan dijangka terjejas akibat banjir.

METRO

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button