Harimau Malaya menunjukkan nada positif

KUALA LUMPUR: Persiapan skuad Harimau Malaya menuju ke pusingan kelayakan Piala Asia 2023 menunjukkan nada positif menerusi dua kemenangan berturut-turut di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selepas membelasah Brunei 4-0 pada Jumaat lalu, anak buah Kim Pan Gon melakar kemenangan 2-0 ke atas Hong Kong pada aksi persahabatan kedua di venue sama, di sini, malam tadi.

Kemenangan ke atas pasukan yang berada tujuh anak tangga di atas Malaysia itu pastinya memberikan tonik terbaik buat skuad negara menjelang tiga aksi penting, minggu depan.



Tiada istilah ‘main-main’ daripada Pan Gon kali ini apabila menurunkan barisan kesebelasan utama yang boleh dianggap terkuat dalam usaha memadam cabaran bekas pasukan yang pernah dibimbingnya itu.

Turun dengan ‘mode’ menyerang, Malaysia lebih menguasai permainan dan beroleh peluang seawal minit kelima menerusi percubaan Safawi Rasid yang berjaya dihalang pertahanan Hong Kong sebelum percubaan susulan Dion Cools tepat ke dakapan Paulo Cesar.

Kelincahan bahagian sayap Malaysia menyaksikan Hong Kong terpaksa bermain seperti berkungfu bagi menutup hasrat Malaysia ‘mengepam’ bola ke dalam kotak penalti mereka.



Kekasaran yang dilakukan pemain Hong Kong ke atas Akhyar Rashid pada minit ke-29 dihukum dengan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Safawi untuk gol pembukaan Malaysia.

Malaysia tidak menunggu lama untuk menguji gawang Hong Kong selepas rehat dan kali ini

Cesar terpaksa merebahkan badan untuk menolak kuisan Darren Lok daripada menceroboh gawangnya pada minit ke-48.

Malaysia sepatutnya beroleh gol kedua pada minit ke-52 selepas Akhyar memenangi satu lawan satu dengan Cesar namun percubaannya ketika gawang sudah ‘menjemput’ gol tidak mengubah kedudukan kepada 2-0 kerana tersasar.



Stadium Nasional Bukit Jalil kembali gamat pada minit ke-89 apabila sepakan percuma Safiq Rahim yang terbias mengelirukan Cesar dan kali ini berhasil menjadikan kedudukan 2-0.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button