Ronaldo tersenarai calon Pemain Terbaik PFA

LONDON: Bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo tersenarai sebagai seorang daripada calon Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) England kali ini.

Namun tiada tempat buat tonggak Tottenham, Son Heung-Min walaupun bintang Korea Selatan itu menamatkan musim selaku penjaring terbanyak.

Selain itu, rakan sepasukannya di Spurs, Harry Kane dan bintang Manchester City, Kevin De Bruyne juga tersenarai.



Liverpool mengetuai pencalonan apabila Sadio Mane, Mo Salah dan Virgil van Dijk berada dalam senarai.

Ronaldo melalui musim bercampur-campur dalam kempen pertamanya sejak kembali ke Man United walaupun menjaringkan 18 gol dalam Liga Perdana.

Legenda Portugal itu dikritik kerana gagal menyesuaikan diri dengan taktikal pasukan.

Walaupun masa depannya masih tidak menentu bersama pengendali baharu, Erik ten Hag, Ronaldo kini tercalon untuk anugerah yang pernah dimenanginya sebanyak dua kali pada 2007 dan 2008.



Pencalonan Ronaldo agak mengejutkan kerana dia mengatasi pemain pilihan dari Spurs, Son yang berkongsi anugerah Kasut Emas bersama Salah selepas meledak 23 gol musim ini.

Namun Kane masih boleh memburu anugerah PFA itu selepas menjaringkan 17 gol ketika membantu Tottenham menamatkan kedudukan di tangga empat teratas.

Sementara itu De Bruyne dijangka menambah satu lagi anugerah individu dalam koleksinya selepas menang Pemain Terbaik Tahunan Liga Perdana.

AGENSI



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button