‘Tak dapat kerja urus anak sakit, suami terlantar’

Puchong: Berat ujian ditanggung Arni Harun apabila anak bongsunya, Muhammad Ian Harith Mohamad Faiz disahkan sindrom Down selepas dilahirkan pada 25 Januari tahun lalu, manakala suaminya, Mohamad Faiz Zamberi mengalami angin ahmar (strok), dua bulan kemudian.

Keadaan itu membuatkan Arni, 34, terpaksa berpisah dengan Muhammad Ian Harith yang kini berusia setahun empat bulan memandangkan anaknya itu memerlukan pemantauan dan jagaan rapi di unit rawatan rapi intensif neonatal (NICU), Hospital Putrajaya.

Selama 13 bulan Muhammad Ian Harris berada di NICU dan sepanjang tempoh itu, Arni tidak dapat bertemu anaknya itu hanya mengetahui perkembangan daripada doktor sebelum dibenarkan pulang ke rumah, Mac lalu.

Pada masa sama, Arni perlu menguruskan suaminya, Mohamad Faiz, 36, yang diserang strok ketika mahu bersiap ke tempat kerja hingga terlantar dan baru kini boleh bergerak dengan menggunakan kerusi roda.

Arni berkata, dia tidak menyangka berdepan ujian berkenaan kerana kandungannya normal berdasarkan pemeriksaan ketika mengandungkan Muhammad Ian Harith.

“Apabila doktor beritahu Ian (nama panggilan Muhammad Ian Harith) sindrom down susah juga untuk terima, namun hati saya berubah menjadi lembut hati apabila melihat wajahnya kerana mengenangkan dia zuriat saya sendiri.

“Cuma, apa yang menyedihkan apabila doktor memaklumkan Ian tiada harapan dan hanya ada masa tujuh hari saja untuk hidup kerana saluran pernafasan sempit dengan hanya ada satu injap saja dan masalah jantung.

“Bagaimanapun, dengan izin Allah, Ian masih bertahan sehingga kini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Flat Taman Puchong Permai, di sini, semalam.

Arni berkata, buat masa ini, Ian sudah dua kali menjalani pembedahan pernafasan dan bantuan mesin ‘continuous positive airway pressure’ (CPAP) sumbangan hospital perlu digunakan setiap masa kecuali ketika mandi.

Katanya, Ian juga perlu diberi makan lapan jenis ubat cecair berkaitan masalah jantungnya.

“Selain itu, Ian juga diberi minum susu formula khas, sama seperti suami cuma sejak kebelakangan ini berat badannya agak menurun.

“Pemeriksaan susulan masih dijalankan di dua hospital, ada kalanya di Hospital Serdang dan Hospital Putrajaya mengikut jadual janji temu dengan doktor.

“Rutin harian saya bermula jam 6 pagi setiap hari, jadi memang tidak boleh bekerja kerana perlu menguruskan Ian, suami dan anak sulung (Nur Medina Sofea) yang kini bersekolah di Tahun Satu,” katanya.

Menurut Arni, dia menerima ketentuan Ilahi dengan reda, namun masih berharap ada harapan untuk anak dan suaminya sembuh.

“Saya akur masalah sindrom Down dialami Ian menyebabkannya tumbesarannya perlahan, namun berharap pembedahan disyorkan doktor membantu memulihkan keadaannya.

“Suami pula buat masa ini terlantar, namun sudah menjalani tujuh sesi fisioterapi, jadi diharap ada peluang untuknya berjalan semula.

“Mujurlah suami yang bekerja sebagai juruteknik tidak diberhentikan kerja dan kini menggunakan cuti sakitnya sekali gus masih menerima gaji bulanan yang digunakan untuk membayar sewa rumah RM700 dan selebihnya menyara keperluan kami sekeluarga sementara menunggu kelulusan bantuan zakat,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker