Wanita maut, kereta rempuh lori baiki jalan

Petaling Jaya: Wanita maut selepas kereta dipandunya merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 9.6 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) menghala ke Puchong, dekat sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu, 12.25 tengah malam.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku 12.20 tengah malam membabitkan sebuah Mercedes Benz dan sebuah lori.

“Ketika kejadian, lori berkenaan berhenti di lorong kanan laluan terbabit untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan jalan.

“Kereta dipandu mangsa secara tiba-tiba datang dari arah belakang di lorong sama dan melanggar bahagian belakang lori terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, pelanggaran itu mengakibatkan mangsa berusia 22 tahun disahkan maut di lokasi kejadian.

Dalam kemalangan berasingan, seorang lelaki maut apabila motosikal dinaikinya melanggar bahagian belakang sebuah kereta di Kilometer 23.3 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala ke Plaza Tol Duta, dekat sini, malam tadi.

Mohamad Fakhrudin berkata, kedua-dua kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor R Navalan di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker