Bekas diplomat, anak didakwa edar ganja

Bentong: Bekas diplomat dan anak lelakinya didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja dan menyimpan minyak ganja di rumah, 21 Mei lalu.

Datuk Zainal Abidin Alias, 78, dan anaknya Mohamed Riza Zainal Abidin, 53, mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan menyimpan minyak ganja manakala tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan mengedar dadah jenis ganja.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 9(1)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39B (1) (a) akta yang sama.

Manakala, Mohamed Riza turut dituduh mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya dan tidak mengaku bersalah.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua mereka didakwa menyimpan minyak ganja seberat 60 mililiter (ml) di rumah di Kampung Sum-Sum Hilir, Janda Baik.

Bagi pertuduhan lain, kedua-dua mereka didakwa mengesar dadah jenis ganja 1020 gram di tempat yang sama.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Shahrul Ekhsan Hashim dan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Khalid.

Tertuduh diwakili peguam Rahmat Hazlan, Tania Scivetti dan Kamil Azman.

Mahkamah menetapkan 13 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

METRO

Leave a Reply