Lelaki sakit selepas pembedahan, tembak mati pakar bedah

TULSA: Lelaki yang menembak mati empat mangsa di sebuah bangunan perubatan di Oklahoma, kelmarin, pergi ke lokasi untuk membunuh seorang doktor yang dipersalahkan atas kesakitan dialaminya selepas menjalani pembedahan, baru-baru ini.

Ketua Polis Tulsa, Wendell Franklin, berkata suspek dikenali sebagai Michael Louis, memasuki kampus Sistem Kesihatan St Francis bersama senjata separa automatik dan melepaskan tembakan sehingga meragut nyawa dua doktor, seorang penyambut tetamu dan seorang pesakit.

Mangsa terkorban meliputi pakar bedah ortopedik, Dr Preston Phillips, 59, yang merawat suspek sebelum itu, dan pakar perubatan sukan, Dr Stephanie Husen, 48.

“Suspek pergi ke lokasi dengan niat untuk membunuh Dr Phillips dan sesiapa saja yang menghalangnya,” kata Franklin pada sidang media, semalam.

Beliau berkata, suspek kemudian turut menembak mati dirinya. Pihak berkuasa dilaporkan menemui sepucuk surat pada suspek yang menyatakan sasaran serangannya itu.

Polis memaklumkan, suspek yang tinggal di Muskogee terletak kira-kira 80 kilometer dari Tulsa, keluar hospital pada 24 Mei lalu selepas menjalani pembedahan belakang badan.

Bagaimanapun, suspek kemudian menghubungi pihak hospital itu beberapa kali untuk mengadu mengenai kesakitan dialaminya.

Dia dilaporkan membeli sepucuk senapang pada hari kejadian sebelum melakukan serangan.

REUTERS

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker