Mampukah BN kembali ke Putrajaya?

Mampukah BN kembali ke Putrajaya

 

Oleh – Aminurrashid Soleh

Barisan Nasional (BN) kini berada dalam ‘mood’ bersedia untuk berdepan Pilihanraya Umum Ke-15. Namun begitu, persoalan besar yang timbul, mampukah BN kembali ke Putrajaya sebagai kerajaan?

Membandingkan pencapaian BN bermula PRK Cameron Highlands, peningkatan sokongan terhadap BN begitu membanggakan. Dalam PRN Melaka dan PRN Johor, kemenangan BN banyak dibantu oleh penyokong BN sendiri dengan sedikit peningkatan dari pengundi atas pagar.

PAKATAN HARAPAN DAN PERIKATAN NASIONAL ‘ADIK-BERADIK’

Faktor penolakan rakyat terhadap Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional juga menyumbang kepada peningkatan sokongan pengundi. Manifesto yang gagal dilaksanakan oleh PH antara penyebab mengapa mereka ditolak oleh penyokong sendiri.

Bagi PN pula, pengundi menimbang pula beberapa kriteria untuk menolak kehadiran mereka. Konflik dalam pengagihan kerusi dalam PN juga menjadi penyebab mengapa PN sukar diterima pengundi. 

Dalam keadaan begitu, pengundi hanya nampak kepada BN sebagai jalan terbaik untuk diangkat sebagai kerajaan. Namun begitu, mereka (pengundi) masih ragu-ragu dengan BN yang belum 100% melalukan perubahan dalaman.

BN PERLU HARGAI KEHADIRAN PENGUNDI 18

Peningkatan jumlah pengundi 18 dalam PRU15 akan menentukan kedudukan semua parti politik termasuk BN. PRN Johor menjadi medan pertama sokongan pengundi 18 dalam pilihanraya dan mereka membuktikan kehadiran mereka mampu mempengaruhi keputusan pengundian.

Melihat kepada ‘trend’ pengundi muda yang mahukan sebuah parti yang mampu memenuhi aspirasi mereka, BN perlu mengambil pendekatan berbeza.

WAKIL RAKYAT TARAF ‘ARTIFAK’ DAN ‘DINASOR’ PERLU BEREHAT DARI POLITIK

Rejunivasi calon perlu dilakukan dengan tegas oleh BN. Calon BN mestilah bukan kalangan kategori artifak atau dinasor politik. Muka baru wajar diketengahkan untuk memenuhi aspirasi golongan muda dan mampu menjadi jambatan penghubung antara ‘senior’ dan ‘junior’ politik.

BN juga perlu lebih realistik membentangkan manifesto dengan mengambilkira pelbagai kriteria serta latar belakang kehidupan rakyat. Pembangunan mapan ekonomi rakyat dan negara mestilah selari dan tidak akan memberi tekanan besar buat rakyat.

Kebajikan rakyat tidak memerlukan skrip yang dipenuhi dengan mitos indah atau yang mengambil masa terlalu lama untuk dilaksanakan. Ini antara yang diperhatikan rakyat bila mereka diberikan tanggungjawab memilih sebuah kerajaan.

KOMPONEN BN WAJAR TUNJUK KOMITMEN, BUKAN SEKADAR PENUMPANG

Parti komponen BN juga perlu menunjukkan komitmen dan kesungguhan bagi membantu kemenangan BN dalam PRU. Jentera parti masing-masing perlu ditambah serta penerangan lebih jelas mestilah sampai kepada pengundi.

Apa yang seringkali terjadi bila calon datang dari komponen BN, mereka hanya mengharapkan kerjasama jentera lain. Ini bukan tradisi BN dan perlu ditukarkan bagi memperlihatkan kematangan politik BN.

Banyak perkara yang boleh diperbaiki BN untuk menghadapi PRU tetapi paling penting, mood pengundi jangan dirosakkan dengan hal remeh-temeh.

“Itu yang you tanya?” – Zahid Hamidi

 

 

Leave a Reply