Mansuh PT3: Langkah drastik keluar sistem pembelajaran berasas peperiksaan

KUALA LUMPUR: Usaha Kementerian Pendidikan (KPM) memperkasakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dilihat satu daripada langkah drastik untuk negara keluar daripada pembelajaran berasaskan peperiksaan.

Presiden Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS), Muhammad Zakir Abdul Razak, berkata pendidikan bukan hanya berpandukan gred dan markah, sebaliknya membina karakter dan insaniah dalam diri setiap murid.

Merujuk kenyataan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin semalam mengenai pemansuhan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diguna pakai sejak 2014 dan pemerkasaan PBS melalui Ujian Akhir Sesi Akademik, beliau berkata, ia satu daripada langkah mengurangkan tekanan guru dan murid.

“Kami yakin pemansuhan PT3 ini sebagai satu langkah awal untuk negara keluar daripada pembelajaran berorientasi peperiksaan. Murid sepatutnya perlu diberi ruang seluasnya untuk membina keupayaan diri berdasarkan potensi masing-masing.



“Kami juga percaya jika proses ini diperkasakan, kita bakal melahirkan generasi yang lebih berdaya saing pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, katanya, kebanyakan guru perlu menumpukan perhatian terhadap persiapan peperiksaan besar, termasuk mempersiapkan murid dan terpaksa menghabiskan siilibus segera dengan pelbagai cara termasuk latihan tubi dan kelas tambahan.

“Oleh itu, pelaksanaan pentaksiran untuk mengukur tahap penguasaan dan prestasi pelajar secara formatif dan sumatif ini dilihat satu daripada satu langkah mengurangkan tekanan guru dan murid,” katanya.

Dengan pemansuhan PT3 yang diguna pakai sejak 2014 mulai tahun ini, PBS yang mengandungi tiga komponen, iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dimantapkan.



Pendekatan baharu yang diperkenalkan adalah pentaksiran sumatif, iaitu penilaian murid mengikut tahun dan tingkatan. Ia membabitkan murid Tahun 4, 5 ,6 serta pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3 yang akan dilaksanakan bermula pada sesi akademik 2022/2023.

Dalam aspek lain, Muhammad Zakir mencadangkan KPM mengambil kira kegusaran sesetengah pihak mengenai situasi murid yang akan berasa tiada motivasi dan kesungguhan dalam pembelajaran apabila peperiksaan dimansuhkan.

Katanya, KPM juga perlu memperincikan mekanisme yang memudah dan mengurangkan bebanan guru dalam menjalankan pentaksiran.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker