Pelarian selama 12 tahun tidak dibenar bekerja

Kuala Lumpur: Seorang rakyat Yaman memiliki kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) yang menjadi pelarian di negara ini sejak 12 tahun lalu mendakwa hidup merempat kerana pemegang kad itu tidak dibenarkan bekerja secara sah di negara ini.

Gaber Ghaleb Mohammed Yahya, 50, yang ditemui di hadapan ibu pejabat UNHCR Malaysia di Jalan Bukit Petaling, di sini berkata, dia pernah bekerja namun serik selepas ditangkap dalam operasi imigresen.

Katanya, ketika kejadian tangkapan itu pada 2014 dia bekerja sebagai pemberi risalah menu untuk mempromosikan sebuah restoran Arab kepada orang ramai yang lalu-lalang di sekitar segi tiga emas di Jalan Bukit Bintang di ibu kota.

“Saya datang ke Malaysia pada 2010 untuk mencari hidup lebih aman kerana keadaan Yaman yang sangat teruk akibat peperangan berpanjangan. Ia termasuk daerah As Saddah tempat asal keluarga saya dan di Aden tempat saya dilahirkan.

“Saya memperolehi kad UNHCR selepas dua tahun tiba di Malaysia iaitu pada tahun 2012. Kemudian, ketika di jalanan semasa saya sedang mengedarkan risalah menu mempromosikan sebuah restoran Arab di Jalan Bukit Bintang, saya turut ditangkap sewaktu pihak imigresen sedang melakukan serbuan di situ.

“Sejak itu saya serik bekerja kerana bimbang diusir kembali ke Yaman. Saya mungkin mati jika balik ke negara asal yang kini dikuasai Syiah Houthi,” kata penganut Islam Sunni itu.

Ketika ditemui, dia duduk bersila di atas tikar dibawanya yang dihamparkan di rumput dengan membawa guni berisi sedikit pakaian, makanan, sejadah, ubat nyamuk bakar dan dua botol air untuknya berwuduk.

Katanya, rutin setiap harinya adalah merayu kepada pihak UNHCR untuk membantunya dan kemudian dia pulang ke ‘tempat tinggalnya’ di kaki lima sebuah kedai serbaneka di Jalan Maharajalela yang tidak jauh dari ibu pejabat UNHCR itu.

Lelaki yang sentiasa bertasbih itu berkata, dia pernah menumpang di Masjid Sri Petaling selama setahun namun diminta tidak lagi berbuat demikian kerana ditegur bahawa masjid itu bukanlah kediaman tetap.

“Hari-hari saya di sini. Polis pun selalu lihat saya di sini setiap hari dan tidak tangkap saya sebab mereka mungkin tahu keadaan saya. Sudah bertahun-tahun saya tidur di jalanan. CCTV (kamera litar tertutup) di kaki lima kedai pun rekodkan rutin saya setiap hari.

“Kelangsungan hidup saya adalah berdasarkan sumbangan orang ramai. Mereka tolong saya… bagi sedikit duit dan bagi makan sebab saya tidur di jalanan,” katanya.

Kisah Gaber Ghaleb mungkin menggambarkan nasib ramai lagi pelarian di negara ini.

Dalam jawapan bertulis Parlimen pada 24 Mac lalu, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan dilaporkan berkata, kerajaan sedang mengusahakan garis panduan mengenai kebenaran untuk pelarian bekerja di Malaysia dengan Kementerian Sumber Manusia mengetuai jawatankuasa mengkaji perkara itu.

Saravanan berkata, kementeriannya akan mengkaji sektor yang sesuai untuk pelarian bekerja dan memastikan kebenaran ini tidak akan menyebabkan persaingan dengan rakyat Malaysia untuk mendapatkan pekerjaan.

Bagaimanapun, tiada garis masa diberikannya berhubung tarikh garis panduan ini akan diperkenalkan.

“Pengurusan pelarian dan pemohon suaka dalam negara sehingga kini tertakluk kepada Arahan Majlis Keselamatan Negara No 23 bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN). Arahan ini sedang dalam proses penambahbaikan dan akan dibentangkan dalam mesyuarat MKN untuk kelulusan.

“Pada masa ini, pelarian yang memegang kad UNHCR hanya dibenarkan bekerja dalam sektor tidak formal seperti bekerja sendiri untuk tujuan sara hidup. Melalui penambahbaikan Arahan Majlis Keselamatan Negara No 23, satu Garis Panduan Kebenaran Bekerja bagi Pelarian akan diperkenalkan.

“Melalui mekanisme pemberian kebenaran bekerja ini juga, kerajaan akan dapat memastikan golongan pelarian dapat diambil kira dalam pangkalan data negara dan maklumat keberadaan mereka akan dapat dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker