Quartararo fokus pertahan kejuaraan dunia
Montmelo: Fabio Quartararo tampil pada Grand Prix (GP) Catalunya minggu ini dengan fikiran yang tenang serta boleh fokus kepada usaha mempertahankan gelaran dunianya selepas selepas menamatkan spekulasi mengenai masa depannya.
Pelumba Perancis itu sudah mengumumkan lanjutan kontrak selama dua tahun lagi bersama Yamaha menjelang perlumbaan pusingan kesembilan itu.
Quartararo berkata, ia adalah keputusan besar yang diambilnya selepas turut mengadakan perbincangan dengan pengeluar lain.
“Seperti yang anda boleh bayangkan, kami tidak bercakap hanya dengan Yamaha saja, dan saya mengambil masa kerana pada satu ketika fokus saya ke arah yang lain,” katanya.
Jaminan pengeluar dari Jepun itu untuk meningkatkan prestasi enjin mendorong pelumba berusia 23 tahun itu kekal bersama pasukan sekarang.
Quartararo menduduki tempat kedua di belakang Francesco Bagnaia di Itali Ahad lalu selepas memulakan aksi di tempat keenam dalam perlumbaan yang disifatkannya sebagai antara terbaik dalam kariernya.
Keputusan berkenaan meletakkan Quartararo lapan mata di hadapan Aleix Espargaro, yang menang di Argentina dan menduduki podium dalam empat perlumbaan seterusnya.
METRO