‘Sempat ajar bapa mengucap sebelum meninggal dunia’

KUALA TERENGGANU: Pasangan suami isteri sempat mengajar kalimah syahadah kepada bapa mereka yang terbabit kemalangan sebelum warga emas itu meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Pulau Bahagia, Manir, malam tadi.

Idris Salleh, 76, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah selepas motosikal ditungganginya berlanggar dengan sebuah motosikal ditunggangi seorang lelaki dalam kemalangan pada jam 7.30 malam.

Menantu mangsa, Alinawati Husain, 48, berkata, ketika kejadian, bapa mentuanya yang menunggang motosikal Honda EX5 dikatakan dalam perjalanan balik ke rumahnya di Kampung Kubang Palas, Telemong, Hulu Terengganu.

“Arwah dikatakan dalam perjalanan pulang dari bandar ke rumah selepas selesai bekerja. Saya mengetahui kejadian menimpa bapa selepas menerima panggilan telefon yang memberitahu bapa terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.



Beliau dan suami, Abdul Wahid Idris, 54, kemudiannya terus bergegas ke lokasi kejadian bagi memastikan keadaan bapa.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, bapa masih lagi bernyawa dan kami sempat mengajarnya kalimah syahadah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir,” katanya yang tinggal berjiran dengan bapa mentuanya.

Alinawati berkata, bapa mentuanya tinggal bersama adik bongsu bekerja sebagai penjaga sebuah tandas awam di bandar ini sejak sebulan lalu selain melakukan kerja kampung.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat menggunakan kenderaan polis.



Dalam kejadian itu, seorang lagi mangsa belum dikenalpasti identiti juga menunggang Honda EX5 dikatakan mengalami kecederaan parah dikejarkan ke HSNZ.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Wan Mohd Zaki Wan Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker