Tottenham sedia lepaskan 13 pemain
London: Tottenham Hotspur mengesahkan melepaskan 13 pemain menjelang tempoh pramusim.
Pierluigi Gollini adalah nama besar dalam senarai itu selepas tempoh pinjamannya baru sahaja tamat dan dia akan kembali ke Atalanta.
Spurs boleh mendapatkan penjaga gol itu secara kekal jika dia membuat 20 penampilan atau kelab berkenaan membayar yuran perpindahan bernilai £12.9 juta (RM71.1 juta).
Kelab itu turut mengumumkan melepaskan pemain skuad pembangunan iaitu J’Neil Bennett, Kacper Kurylowicz, Dermi Lusala, Thimothee Lo-Tutala, Josh Oluwayemi, Tobi Omole dan Isak Solberg.
Omole adalah pemain tetap semasa sesi latihan pasukan utama musim lalu.
Bek tengah itu turut dimasukkan ke bangku simpanan sekali dalam Liga Perdana menentang Crystal Palace dan beberapa kali dalam Liga Konferensi Europa.
Bennett pula mendapat peluang beraksi selama sembilan minit semasa kelayakan Liga Konferensi Europa.
Pemain bawah 18 tahun, Jez Davies, Jordan Hackett, Khalon Haysman, Renaldo Torraj dan Oliver Turner turut dilepaskan.
Tottenham mengeluarkan kenyataan berikut: “Kami mengesahkan melepaskan Pierluigi Gollini berikutan tamat tempoh pinjamannya dari Atalanta.
“Penjaga gol itu menyertai kami pada Julai lalu untuk tempoh musim 2021/22 dan membuat 10 penampilan.
“Kami berterima kasih kepada Pierluigi atas khidmatnya dan mendoakan yang lebih baik untuk masa depannya.”
METRO