‘Kita tak mimpikan?’

Sungai Petani: “Kita tak mimpikan?” itu pertanyaan diungkapkan kanak-kanak perempuan Nur Hani Humaira Muhd Akmal, 8, selepas mengetahui abangnya Muhammad Aniq Hadif, 10, meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.

Biarpun dia bagaikan tidak percaya dengan kehilangan abang sulungnya, kanak-kanak terbabit tetap memujuk hati untuk menerima hakikat itu walaupun pada mulanya menganggap ia hanyalah mimpi.

Apakan tidak, anak kedua daripada tiga beradik itu sangat rapat dengan abangnya malah sehari sebelum kejadian mereka berdua dimasukkan ke hospital yang sama dengan Nur Hani Humaira diserang sawan manakala Muhammad Aniq Hadif pula mengalami muntah dan cirit-birit.

Bagaimanapun, tuhan lebih menyayangi abangnya itu apabila Muhammad Aniq Hadif menghembuskan nafas terakhir pada 1.40 tengah hari semalam di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSAH kerana jangkitan kuman dalam otak.

Ibu saudara dua beradik berkenaan, Nur Suriati Zikri, 37, berkata arwah memang rapat dengannya walaupun dia menetap di Kuala Lumpur dan kali terakhir mereka bertemu pada hari raya lalu.

“Jika bertemu dengan saya, arwah akan meminta menyediakan makanan kegemarannya iaitu oden namun saya tidak sempat untuk menyiapkan hidangan itu dan menggantikannya dengan ‘shell out’.

“Arwah anak saudara paling rapat kerana dia pernah tinggal beberapa tahun bersama saya malah sehingga kini setiap kali cuti sekolah arwah akan datang bersama keluarganya ke rumah saya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menceritakan kembali kejadian sebelum pemergian mengejut arwah, Nur Suriati berkata anak saudaranya itu dikejarkan ke hospital pada petang Rabu selepas mengalami muntah ketika berada di rumah.

“Ketika dalam perjalanan, keadaan arwah bertambah buruk apabila dia cirit-birit dan terus tidak sedarkan diri selepas tiba di hospital sebelum dimasukkan ke ICU untuk rawatan lanjut.

“Pada hari sama, adiknya turut dimasukkan ke hospital kerana diserang sawan dan mereka dua beradik yang mempunyai jarak usia dua tahun memang sangat rapat,” katanya.

Menurutnya, arwah anak saudaranya itu disahkan meninggal dunia keesokan hari dan mereka sekeluarga dengan berat hati terpaksa memberitahu adiknya yang ketika itu masih berada di wad hospital terbabit.

“Kami memohon untuk membawa adik arwah pulang bagi menghadiri pengebumiannya dan amat sedih apabila Nur Hani Humaira berulang kali bertanya apa yang berlaku terhadap abangnya itu bukan mimpi.

“Walaupun sedih dengan pemergian mengejut arwah namun kami sekeluarga reda dengan ketentuan Tuhan yang lebih menyayanginya malah Nur Hani Humaira juga dapat menerima kenyataan yang abangnya sudah tiada buat selama-lamanya,” katanya.

Arwah murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Seri Wang adalah seorang yang ceria selain aktif kerana bakatnya dalam berpidato, syarahan, bermain angklung dan baru dilantik sebagai Pembimbing Rakan Sebaya (PRS).

Jenazah arwah adik Muhammad Aniq Hadif selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kelisa jam 6.30 petang semalam yang diuruskan Skuad Hang Cangkul Murtadha Dakwah Centre (Madad).

Arwah meninggalkan ibunya, Nur Nazira Zikri, 33, bapa Mohd Akmal Md Zain, 37 dan seorang lagi adik perempuan berusia enam tahun.

METRO

Leave a Reply