Ketuk kepala sebelum potong mayat ibu – Polis

IPOH: Bau busuk luar biasa dihidu jiran membawa penemuan mayat wanita berusia 68 tahun yang dipotong 15 oleh anak lelakinya di sebuah rumah di Taman Kerian di Parit Buntar, dekat sini, semalam.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, yang mengesahkan semua cebisan mayat itu ditemui dalam saluran lubang najis di belakang rumah mangsa yang ditutup papan lapis.

“Kita terima panggilan daripada jiran mengatakan bau busuk luar biasa mengakibatkan pihak polis sekali lagi bergegas ke tempat kejadian.

“Apabila pergi (siasat) belakang rumah dan melihat ada papan lapis digunakan untuk menutup saluran lubang najis, kita jumpa ‘body’ (cebisan mayat) di dalam itu.

“Jadi kita anggap kes ini selesai dan kita akan rujuk kertas siasatan kepada jabatan peguam negara untuk mendapat arahan selanjutnya,” katanya.

Semalam, polis dilapor menahan seorang lelaki berusia 42 tahun susulan penemuan 15 potongan daging menyerupai anggota badan manusia dalam tangki kumbahan di sebuah rumah di Taman Kerian.

Berdasarkan maklumat, polis menerima panggilan kira-kira jam 3.30 petang mengenai kejadian itu sebelum sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah dibantu Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dikejarkan ke lokasi.

Dalam pada itu, Mior Faridalathrash mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada anak mangsa mengenai kehilangan wanita itu pada 28 Mei lalu.

“Mangsa dan suspek tinggal bersama, manakala anak yang lain akan menghubungi ibu mereka setiap hari. Namun pada 28 Mei lalu, mereka menghubungi dan telefon dijawab suspek yang mengatakan ibu mereka keluar rumah dan tak balik-balik.

“Seorang anak mangsa curiga dan membuat laporan polis, sebelum siasatan sebagai orang hilang dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pegawai penyiasat yang mengunjungi ke rumah berkenaan sebelum ini mendapati keadaan kediaman itu tidak terurus berikutan mangsa dan suspek terbabit dalam urusan barangan terpakai.

“Jadi rumah berselerak dan sebagainya, selain bau pun agak tidak menyenangkan,” katanya.

Mengulas siasatan pihaknya, Mior Faridalatrash berkata, pihak forensik yang menjalankan siasatan di lokasi kejadian semalam menemui bukti termasuk peralatan digunakan suspek untuk membunuh mangsa.

“Kita percaya suspek mengetuk kepala mangsa dahulu kemudian baru mengerat (badan mangsa).

“Sehingga kini kita percaya dan yakin dia (suspek) ada masalah mental dan kita sudah menahannya semalam.

“Hasil siasatan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan kita mohon reman pagi ini untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker