‘Mengucap panjang lihat cucu sarat mengandung mati ditembak’

PASIR MAS: “Dia (cucu) hanya memberitahu mahu keluar untuk mengurut, selain meminta saya supaya menjaga tiga anaknya kerana mengalami lenguh badan akibat mengandung.

“Saya tak sangka dia tidak pulang dan hanya sekujur tubuh yang tidak bernyawa ditemui,” luah Zawiah Sulong, 68.

Zawiah adalah nenek kepada seorang wanita sarat mengandung tujuh bulan yang ditemui mati dengan kesan tembakan pada perut dalam sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan di Kampung Repek, di sini, petang semalam.

Beliau berkata, cucunya berusia 26 tahun dan sudah bercerai itu keluar sekitar jam 8 malam kelmarin dan tidak pulang keesokan harinya menyebabkan dia sendiri cuba mencari dengan pergi ke rumah rakan mangsa.

“Malah, saya cuba menghubungi ibunya yang tinggal di Kampung Bechah Kelubi, Bukit Panau, namun diberitahu anaknya itu tidak pulang ke sana.

“Perkhabaran itu meresahkan saya sehinggalah ada saudara beritahu kereta milik cucu tersadai di tepi jalan. Saya segera ke lokasi dan terkejut melihat kehadiran polis dan orang ramai.

“Barulah saya tahu kejadian sebenar. Mengucap panjang melihat cucu kesayangan kaku di dalam kereta sudah tidak bernyawa lagi,” katanya tiga anak arwah berusia tiga hingga 10 tahun.

Zawiah berkata, ketiga-tiga anak mangsa masih berada dalam keadaan terkejut, malah anak paling bongsu asyik menangis ‘mencari’ ibunya itu kerana mereka sangat rapat.

“Dia (mangsa) seorang cucu yang sangat baik dan peramah, tidak suka keluar malam kecuali jika ada urusan penting saja.

“Selain itu, dia juga tidak pernah bercerita jika ada bermusuh atau sebagainya. Saya reda dengan apa yang terjadi dan perlu kuat demi untuk terus menjaga anak mangsa yang masih lagi trauma dengan kejadian ini.

“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bechah Kelubi seperti mana permintaan ibu kandungnya sebaik segala proses bedah siasat selesai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, dia berharap pembunuh cucunya itu dapat segera ditahan dan dikenakan hukuman yang setimpal.

BHOnline

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker